Monday, 21 November 2011

Hanya tiga mata (22/11/2011)

PARIS: Manchester United dan Manchester City berpeluang untuk mengesahkan tempat ke pusingan kalah mati Liga Juara-Juara jika mencatatkan kemenangan ke atas Benfica dan Napoli, esok.
Kedua-dua pasukan itu bakal disertai Bayern Munich ke pusingan kedua dengan gergasi Jerman itu hanya memerlukan satu mata menentang wakil Sepanyol, Villarreal, di tempat sendiri manakala juara bertahan tahun lalu, Inter Milan juga memerlukan satu mata bertemu wakil Turki, Trabzonspor. Wakil Belanda, Ajax turut ke pusingan kedua jika berjaya menewaskan Lyon.

United mendapat tonik terbaik sebelum kunjungan ke Benfica selepas menewaskan Swansea, 1-0 di tempat lawan untuk meneruskan tekanan ke atas City yang mengungguli liga.
Bagaimanapun, lebih melegakan Alex Ferguson (gambar) ialah keutuhan bentengnya yang kembali kepada prestasi sebenar.

“Kemenangan bersih adalah sebahagian daripada faktor kejayaan United. Kami agak cuai sebelum ini,” kata pengendali berusia 69 tahun itu.

“Skuad yang kami miliki pada masa ini mempunyai kekuatan seimbang dan saya boleh melakukan sebarang pertukaran tanpa berasa bimbang.” City juga berdepan tugas sukar di Napoli selepas tuan rumah tidak pernah tewas dalam 10 perlawanan Liga Juara-Juara sejak kembali beraksi di kejohanan itu pada 2008.
Bagaimanapun, pengurus City, Roberto Mancini yakin skuad kendaliannya sudah berjaya menyesuaikan diri di pentas tertinggi meskipun mengakui lawan mereka pasti tidak akan memberi laluan mudah.

“Napoli pasti lebih selesa. Mereka mempamerkan peningkatan pada saingan Liga Juara-Juara. Namun saya yakin kami berpeluang untuk menewaskan mereka.” Bayern pula sepatutnya tidak berdepan masalah besar untuk menempah tiket ke pusingan kalah mati dengan menyingkirkan Villareal.
Kelab Jerman itu pasti mahu mencari penawar terbaik selepas tewas 0-1 kepada juara Jerman, Borussia Dortmund, Sabtu lalu.

“Kami perlu melupakan kekalahan itu,” kata pengerusi kelab, Karl-Heinz Rummenigge.

“Tugas pemain adalah untuk menang yang akan mengesahkan tempat kami di pusingan kedua Liga Juara-Juara dan ia menjadi keutamaan kami ketika ini.” - AFP

No comments:

Post a Comment