Thursday 24 November 2011

‘Hanya 29 minit’ (25.11.2011)

TUGAS Datuk Lee Chong Wei pada pusingan kedua Terbuka China semalam cukup mudah apabila menyingkirkan sensasi Jepun, Kenichi Tago 21-9, 21-7 dalam masa hanya 29 minit, namun dia harus menerima hakikat betapa ranjau berduri bakal dilalui selepas ini jika mahu mengungguli acara perseorangan di bumi China.
Apa tidaknya, seteru utama pemain nombor satu dunia itu, Lin Dan yang turut beraksi pada saingan kali ini, pasti sangat selesa beraksi di halaman sendiri dengan kedua-duanya dijangka bakal bertemu pada saingan separuh akhir andai melepasi pertembungan suku akhir, hari ini.

Lin Dan juga tidak berdepan sebarang masalah semalam apabila mudah menewaskan wakil Hong Kong, Wong Wing Ki 21-16, 21-15 dalam tempoh hanya 37 minit.
Masih segar dengan kejayaan merangkul kejuaraan Terbuka Hong Kong selepas menewaskan Chong Wei di separuh akhir, Lin Dan pasti mahu mengulangi kejayaan itu di Terbuka China.

Pada aksi suku akhir hari ini, Chong Wei bertemu seorang lagi pemain Jepun, Sho Sasaki sementara Lin Dan berdepan Jan O Jorgensen dari Denmark manakala juara tahun lalu, Chen Long pula bertemu rakan senegara dari China, Chen Jin.

Sementara itu, pasaran beregu utama negara, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong tidak berdepan masalah menewaskan wakil Jerman, Ingo Kindervater-Johannes Schoettler 21-7, 21-16. Namun menanti mereka di suku akhir ialah pasangan Korea, Ko Sung Hyun-Yoo Yeon Seong, satu tugas yang bukan mudah untuk mereka.
Andai melepasi rintangan suku akhir, Kien Keat-Boong Heong berdepan tugas lebih sukar dengan kemungkinan bakal bertemu pilihan utama, Cai Yun-Fu Haifeng yang bakal bertemu pasangan Jepun, Naoki Kawamae-Shoji Sato di suku akhir.

No comments:

Post a Comment