Monday 14 November 2011

Hamilton hadiahkan kemenangan buat ibu (15/11/2011)

ABU DHABI (UAE): Pelumba Formula Satu (F1) Britain, Lewis Hamilton menghadiahkan kemenangan Grand Prix Abu Dhabi buat ibunya yang menyambut hari lahirnya.
Hamilton yang bangkit mempamerkan persembahan mantap mengambil kesempatan selepas juara dunia dua kali, Sebastian Vettel tersisih pada peringkat awal perlumbaan untuk meraih kemenangan yang selesa.

Pemandu McLaren berusia 26 tahun itu itu begitu yakin dan membantunya mengungguli perlumbaan sejak selekoh kedua pusingan pertama hingga akhir untuk membolehkan dia mencatatkan kemenangan ketiga pada musim yang sukar serta kejayaan ke-17 kariernya.
Selepas itu dia menghadiahkan kemenangan itu kepada ibunya, Carmen yang terbang ke Abu Dhabi untuk memberi sokongan dan menyambut hari lahirnya.

Ia adalah kemenangan pertamanya selepas lapan perlumbaan dan ketiadaan Vettel buat pertama kali dalam kedudukan meraih mata tahun ini. Ia juga kegagalan pertama pelumba Red Bull itu untuk menaiki podium tahun ini.

“Minggu ini hari lahir ibu saya,” katanya. “Hebat untuk mencatatkan kemenangan apabila dia turut berada di sini. Saya rasa sangat bangga. Ia salah satu perlumbaan terbaik sepanjang karier saya. “Kemampuan mengekang salah seorang pemandu terbaik dunia, Fernando Alonso sukar untuk dilakukan. Saya sentiasa melihat tayar dan mampu menjarakkan kedudukan. Krew pasukan melakukan tugas yang bagus ketika hentian pit.” Hamilton bermula di tempat kedua namun mendahului perlumbaan beberapa ratus meter kemudian apabila tayar kanan belakang Vettel pancit dan memaksanya menamatkan perlumbaan lebih awal di sirkit Yas Marina. - AFP

No comments:

Post a Comment