Friday 11 November 2011

Hafizh tekad hatrik (12/11/2011)

HAFIZH Syahrin Abdullah yang baru meraih dua kemenangan berturut-turut di Kluang (Pusingan 7) dan Melaka (Pusingan 8) mahu mencatat kejayaan hatrik pada Pusingan 9 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas di Litar Antarabangsa Sepang (Litar Selatan) pada hujung minggu ini.
Pelumba Petronas Syntium Moto Yamaha Raceline itu berharap dapat melakukan hatrik keduanya dalam kategori CP130. Tahun lalu, Hafizh mencipta sejarah apabila muncul pelumba termuda memenangi tiga perlumbaan berturut-turut, memadam pencapaian dilakukan Ahmad Fazli Sham yang berusia 28 tahun pada 2008.

Setakat ini hanya Fazli dan Hafizh berjaya mencatat kejayaan hatrik dalam kategori Expert/CP130 dan jika Hafizh memenangi perlumbaan di Sepang, dia dapat meletakkan namanya sebagai pelumba tunggal yang berjaya melakukannya dua kali.
“Matlamat utama saya pada perlumbaan minggu ini adalah untuk menamatkan perlumbaan tiga pusingan itu di tempat pertama bagi membolehkan saya mencatat satu lagi kejayaan dalam karier saya,” kata pelumba 17 tahun yang terikat di tangga kedua keseluruhan bersama Fazli (Pennzoil Racing) dan Mohd Affendi Rosli (Harian Metro TEQ SCK Honda Racing) dengan masing-masing memungut 79 mata. Mendahului senarai ialah rakan sepasukan Affendi, Norizman Ismail, 102 mata.

“Ia bukan satu tugas mudah untuk memenangi tiga perlumbaan berturut-turut kerana tahap persaingan dalam kelas perdana ini begitu sengit. “Musim ini, Norizman berpeluang untuk melakukannya selepas memenangi perlumbaan di Putrajaya (Pusingan 4) dan Teluk Intan (Pusingan 5) namun dia sekadar di tempat kelapan pada perlumbaan berikutnya di Alor Setar.

“Peluang untuk merebut gelaran juara masih terbuka, namun peluang saya agak tipis melainkan Norizman gagal mengutip sebarang mata pada satu pusingan sama ada di Sepang atau pusingan terakhir di Padang Kota Lama ataupun saya memenangi kedua-dua perlumbaan dan Norizman pula gagal menamatkan perlumbaan di kedudukan tiga teratas. “Bagaimanapun, pada masa ini tumpuan saya adalah untuk membuat yang terbaik di Sepang dan mencatat kemenangan hatrik.

“Selain itu, saya juga mahu mengumpul lebih banyak mata bagi pasukan dalam senarai keseluruhan berpasukan. “Pada masa ini kami berada di kedudukan ketiga dengan 139 mata, hanya tiga mata kurang berbanding Pennzoil Racing yang berada di tangga kedua, 142. “Yamaha Maju Motor Racing yang berada di tangga keempat pula hanya ketinggalan satu mata di belakang kami,” kata juara bertahan Kejuaraan, Hafizh yang hanya memulakan aksi bagi musim 2011 di Teluk Intan (Pusingan 5).

No comments:

Post a Comment