Monday 21 November 2011

Hafiz ceria (22/11/2011)

TIADA yang lebih menggembirakan buat pelumba basikal trek negara, Muhammad Hafiz Mohd Sufian, semalam.
Selain menghadiahkan pingat emas acara Omnium Sukan Sea Indonesia untuk negara, dia dedikasikan kejayaan itu kepada isterinya, Najah Raihan Fouzi yang bakal melahirkan cahaya mata pertama Januari, tahun depan.

Selepas mendahului selesa dengan 10 mata selepas lima acara iaitu Flying Lap, Points, Elimination, 4000m kejar mengejar individu dan Scratch, Hafiz, 25, turun pada acara terakhir 1km Ujian Masa di Velodrom Rawamangun di Jakarta.
Atlet kelahiran Kuala Lumpur itu meraih tempat pertama dalam acara kegemarannya itu menerusi catatan masa 1:08.176 saat untuk mengumpul 11 mata keseluruhan.

Kemenangan ini cukup bermakna buat Hafiz yang tampil buat kali pertama di Sukan Sea biarpun mula menyertai skuad basikal remaja negara ketika berusia 16 tahun.

“Ini kejohanan pertama saya dalam acara Omnium dan ini juga penampilan pertama saya di Sukan Sea jadi saya sangat gembira dengan kemenangan ini,” katanya.
Dalam pada itu skuad negara menutup kempen mereka penuh gemilang dengan meraih tiga emas lagi.

Fatehah Mustapa menghadirkan dua pingat emas menerusi acara pecut wanita individu dan kemudiannya pecut wanita berpasukan berganding dengan Jupha Somnet selain Muhammad Edrus Yunos dalam acara pecut lelaki individu.
Fatehah menundukkan Apryl Eppinger dari Filina dalam acara pecut individu wanita manakala pelumba Indonesia, Santia Tri Kusuma sekadar meraih gangsa.

Dia kemudiannya turun berganding dengan Jupha dan kejauhan mereka terserlah apabila menumbangkan gandingan dari Thailand, Chanakan Sricha-Um dan Jutatip Maneephan pada perlumbaan akhir.

“Saya amat gembira kerana hadir di sini dengan impian untuk membawa pulang tiga pingat emas dan ia memang berjaya dilaksanakan,” kata Fatehah, yang sebelum ini memenangi acara 500m ujian masa individu.

Terdahulu, Edrus mengalahkan rakan senegara Mohd Fattah Amri Zaid dalam perlumbaan akhir pecut lelaki dengan pelumba Thailand, Satjakul Sianglam meraih pingat gangsa.

Empat pingat emas semalam membolehkan skuad berbasikal negara pulang dengan tujuh pingat emas, dua melebihi sasaran Majlis Sukan Negara.

No comments:

Post a Comment