Monday 14 November 2011

Gonzalo raih RM3.1j (15/11/2011)

SINGAPURA: Pemain golf Sepanyol, Gonzalo Fernandez-Castano meraih AS$1 juta (RM3.1 juta) selepas memenangi lubang play-off tambahan kedua untuk menjuarai Terbuka Barclays Singapura, semalam selepas ribut memaksa permainan ditangguh semalaman.
Pemain berusia 31 tahun dari Madrid itu memastikan kemenangan apabila melakukan birdie dari jarak sembilan kaki pada par lima lubang ke-18 selepas pukulan lawannya, Juvic Pagunsan tersasar.

Penamat terbabit disaksikan sejumlah kecil peminat di Kelab Golf Sentosa yang hadir seawal 7.30 pagi selepas dua kali aksi play-off terganggu dan akhirnya ditangguh lewat sehari akibat hujan lebat dan kilat.
Juvic, 33, mempunyai peluang keemasan muncul pemain pertama Filipina menjuarai kejohanan Jelajah Eropah pada lubang tambahan pertama namun tolakan birdie pada jarak lima kaki tersasar.

Juvic terlepas dari jarak 10 kaki pada lubang kedua dan menerima padah apabila Fernandez-Castano menyempurnakan putt untuk meraih kejuaraannya kelimanya dalam Jelajah Eropah serta kejayaan pertamanya dalam tempoh tiga tahun.

“Ini mungkin saingan paling mendebarkan,” katanya yang mengaku tidak mampu tidur dengan lena pada malam Ahad.

“Saya bertuah. Dia melakukan putt yang sangat bagus pada lubang pertama dan mampu muncul juara. Nasib saya baik kerana dia gagal menyempurnakannya. Namun inilah golf, play-off memang begitu.” Juvic sedar peluangnya tertutup selepas putt lubang pertamanya tersasar. Namun dia gembira untuk mengungguli senarai pemenang wang tunai Asia dengan AS$666,660 (RM2.09 juta) selepas muncul naib juara.

“Saya fikir ini peluang terbesar,” kata pemain Filipina itu. “Tapi saya terlepas. Namun saya masih pemenang wang tunai terbanyak.” -AFP

No comments:

Post a Comment