Wednesday 23 November 2011

Gol Ribery julang Bayern (24/11/2011)

MUNICH: Pemain sayap Perancis, Franck Ribery meledak dua gol bagi memastikan Bayern Munich menempah tiket ke pusingan kedua Liga Juara-Juara selepas menewaskan Villarreal, 3-1 awal pagi semalam.
Selepas Napoli menewaskan Manchester City 2-1 untuk naik ke tangga kedua kumpulan, Bayern kini selesa dengan kelebihan lima mata di tangga teratas Kumpulan A sebelum turun pada perlawanan terakhir bertemu City di tempat lawan.

“Sangat penting kami mengungguli kumpulan,” kata jurulatih, Jupp Heynckes yang mengaku berang apabila gawang Bayern dibolosi pada separuh masa kedua hasil jaringan pemain tengah Villarreal, Jonathan de Guzman.
“Setakat ini, kami melalui saingan ini dengan baik. Saya tidak suka dibolosi satu gol selepas separuh masa pertama dan selepas itu, kami perlu mencari rentak semula.

Ia kemenangan keempat Bayern musim ini dengan hanya seri 1-1 ketika bertemu Napoli.

Stadium Allianz Arena di Munich akan menjadi tuan rumah final Liga Juara-Juara Mei tahun depan dan gergasi Jerman itu tidak menyembunyikan keinginan untuk beraksi pada pentas final di tempat sendiri buat kali pertama sejak 2001.
“Kami bangga kerana ia menepati sasaran. Ribery sangat menakjubkan,” kata Mario Gomez. Tewas lima perlawanan berturut-turut, Villarreal kini sudah tersingkir dan impian untuk menamatkan saingan di kedudukan ketiga dan beraksi di Liga Europa turut musnah.

“Sudah tentu kami mahu menang tapi kami berdepan lawan yang kuat,” kata jurulatih Villarreal, Juan Carlos Garrido. “Saya rasa kami beraksi seimbang sepanjang 90 minit permainan. Kami pasti akan tampil lebih baik selepas ini.” - AFP

No comments:

Post a Comment