Monday 21 November 2011

Gol ‘emas’ Johnson (22/11/2011)

LONDON: Jaringan menarik Glen Johnson pada minit ke-87 menghadiahkan Liverpool kemenangan 2-1 ke atas Chelsea di Stamford Bridge, awal pagi semalam, sekali gus meningkatkan tekanan ke atas pengurus Blues, Andre Villas-Boas.
Kekalahan kelmarin adalah yang kedua berturut-turut buat Chelsea di laman sendiri. The Blues hampir berkongsi mata apabila Daniel Sturridge memadam gol babak pertama Maxi Rodriguez, 10 minit selepas separuh masa kedua bermula.

Namun, jaringan minit akhir Johnson memastikan bekas pasukannya mengalami kekalahan ketiga daripada empat perlawanan liga musim ini. Kemenangan itu turut melonjakkan Liverpool ke tangga keenam, sama mata dengan The Blues.
Chelsea kini ketinggalan 12 mata di belakang Manchester City yang mengungguli liga.

“Kekalahan ini memberi tamparan terburuk buat pasukan. Kami bakal bertemu Wolves di laman sendiri, kemudian Newcastle dan pendahulu liga. Kami perlu menang meskipun ia sukar.

“Kami berdepan banyak perlawanan bulan ini hingga Disember, jadual agak ketat dan diharap pasukan mampu meraih mata tambahan sepanjang tempoh itu.
“Namun, kami makin hampir kepada situasi lebih sukar,” kata Villas-Boas.

Pengurus Liverpool, Kenny Dalglish bangga dengan pencapaian anak buahnya.
“Prestasi serta pencapaian mereka hebat dan layak dipuji. Tuah memihak kepada kami hari ini,” katanya.

Villas-Boas tampil dengan kejutan apabila tidak menyenaraikan Fernando Torres menentang kelab yang ditinggalkannya dengan nilai �50 juta (RM250 juta) pada musim perpindahan pemain Januari lalu.

Dalglish pula menyisihkan Andy Carroll yang menggantikan Torres dengan harga �35 juta (RM174 juta) ke bangku simpanan.

Tindakan itu nyata tidak mengecewakan Dalglish apabila pasukannya menyaksikan Chelsea mengulangi kesilapan yang menyebabkan mereka dibelasah 5-3 oleh Arsenal, hujung bulan lalu. - AFP

No comments:

Post a Comment