Friday 11 November 2011

Gimnas buru dua emas (12/11/2011)

MESKIPUN tampak sukar tanpa pasukan gimrama, skuad gimnastik negara tetap optimis untuk memburu dua emas yang disasarkan kepada gimnas lelaki. Pengurus pasukan, Azmi Hassan berkata, emas pertama diharap daripada berpasukan lelaki hari ini.
“Kita mempunyai kelebihan dalam acara berpasukan, saya harap tiada masalah timbul di kalangan atlet kita kerana mereka akan memburu emas esok (hari ini),” kata Azmi ketika ditemui di Kompleks Sukan Jakabaring.

“Satu lagi emas kita sasarkan dalam mana-mana aparatus individu. Harapan terbaik disandarkan kepada Hairi Zaid Ahmad Saruji dan Mohd Shahril Johari.” Menurut Shahril, acara palang kekuda mungkin akan memberi kelebihan kepadanya kerana faktor keyakinan, malah tahu akan kemampuan peserta lain.
Selain dia dan Zaid, cabaran gimnastik lelaki turut digalas Mohd Hamzarudin Nordin, Danniel Iskandar Richard dan Mohd Irwan Miskob.

Semua gimnas negara akan turun beraksi dalam setiap aparatus bermula jam 9 pagi hari ini dan mata terbaik daripada empat gimnas akan dikira untuk menentukan pemenang pingat emas berpasukan.

Sementara itu, Farah Ann Abdul Hadi kini menjadi harapan tunggal gimnas wanita untuk melakukan kejutan selepas Tracie Ang belum cergas sepenuhnya.

Farah akan beraksi dalam acara berpasukan dan individu all around iaitu dalam semua aparatus.

Sebanyak enam emas ditawarkan dalam gimnastik artistik wanita manakala tujuh emas gimnastik artistik lelaki.

No comments:

Post a Comment