Saturday 12 November 2011

Friedel No 1 (13/11/2011)

LONDON: Brad Friedel akan kembali ke gawang untuk perlawanan Tottenham menentang Fulham malam ini biarpun Carlo Cudicini beraksi cemerlang ketika berdepan Rubin Kazan malam kelmarin, kata penolong pengurus, Kevin Bond.
Bond mengendalikan pasukan ketika mereka tewas 0-1 di Russia sewaktu Harry Redknapp berehat di London selepas pembedahan jantung untuk melancarkan arteri koronarinya yang tersumbat.

Redknapp yang dikatakan melihat perlawanan itu dari rumahnya di Dorset, tidak puas hati dengan prestasi pasukannya apabila mereka dikucar-kacirkan oleh Rubin, juara Russia dua kali dalam perlawanan berat sebelah dan mungkin akan menjadi lebih teruk tanpa aksi cemerlang Cudicini.
Penjaga gol Itali berusia 38 tahun itu yang berjaya menyelamatkan beberapa percubaan di Stadium Tsentralnyi dipuji Bond selepas itu tetapi dihantar ke bangku simpanan hujung minggu ini.

Bond akan sekali lagi mengendalikan pasukan di Craven Cottage, malam ini dan menyatakan, Friedel akan kembali menjaga gawang untuk pertemuan di London dan melebarkan rekodnya dalam Liga Perdana Inggeris kepada 285 penampilan biarpun Cudicini beraksi cemerlang di Kazan.

“Pada masa ini, Brad masih layak untuk menyarung jersi itu. Dia bermain dengan baik di liga dan beraksi dalam banyak perlawanan berturut-turut,” kata Bond.

“Kami bukan menurunkannya kerana jumlah perlawanan disertainya tetapi kerana dia menunjukkan aksi konsisten bagi mengesahkan tempatnya di liga ini.” Seperti Cudicini, Sebastien Bassong turut bergelar pemain gantian malam ini selepas kesilapan dilakukannya membawa padah kepada Spurs dalam perlawanan itu.

Pertahanan itu cuai menjatuhkan Alexander Ryazantsev selepas gagal mengawal bola dan Bebras Natcho memanfaatkan sepakan percuma untuk memberikan gol kemenangan buat Rubin dan meletakkan Tottenham di tangga ketiga Kumpulan A Liga Europa.

Bassong mengaku kecewa apabila digugurkan dan mahu meninggalkan White Hart Lane, Januari ini.

QPR dijangka cuba membeli pemain berusia 25 tahun selepas gagal sebelum ini dan Bassong sedia meninggalkan Tottenham jika diberi peluang berpindah. - Agensi

No comments:

Post a Comment