Friday 11 November 2011

Federer sukar digugat (12/11/2011)

PARIS: Peluang Roger Federer layak ke final Masters Paris pertama semakin cerah selepas menundukkan pemain tuan rumah, Richard Gasquet untuk menempah tiket ke suku akhir, semalam.
Bintang tenis Switzerland itu mengiringi pemain utama dunia dari Serbia, Novak Djokovic dan pemain Scotland, Andy Murray yang turut merintis laluan ke suku akhir.

Federer, pemain pilihan ketiga merampas servis pertama lawannya di Barca Arena itu sebelum mengulanginya apabila Gasquet melakukan kesalahan berganda untuk mendahului 4-2.
Pada set kedua, kedua-dua pemain berjaya merampas servis lawan tapi Fededer nyata unggul apabila merampas servis terakhir lawannya untuk menang 6-2, 6-4.

“Saya amat gembira,” kata Federer yang layak ke final dalam semua kejohanan Masters kecuali di ibu negara Perancis itu.

“Biasanya kejayaan hadir pada penghujung musim selepas menyertai banyak kejohanan. Di masa lalu, saya mungkin turun tanpa persediaan yang cukup.

“Saingan di sini sengit dan untuk menempah tiket ke final bukanlah mudah. Harap-harap saya dapat lakukannya tahun ini,” katanya lagi.

Federer akan bertemu Juan Monaco di suku akhir selepas pemain bukan pilihan dari Argentina itu diberi kemenangan percuma oleh pemain Amerika Syarikat (AS), Mardy Fish yang terpaksa menarik diri akibat kecederaan hamstring meskipun mendahului 6-1, 6-7 (6/8), 2-1.

Djokovic mengatasi kejutan set pertama untuk menundukkan rakan senegara, Viktor Troicki 4-6, 6-3, 6-1.

“Saingan hari ini sukar,” kata Djokovic yang diancam kecederaan bahu.

“Walaupun masih belum pulih sepenuhnya tapi saya berjaya mempamerkan aksi yang baik,” kata Djokovic.

Djokovic akan berdepan pemain pilihan keenam yang juga juara 2008, Jo-Wilfried Tsonga untuk merebut tempat di separuh akhir selepas pemain tuan rumah itu menundukkan wakil Itali, Andreas Seppi 6-3, 6-4.

Murray yang kekal dengan aksi konsisten menang 18 perlawanan berturut-turut apabila hanya mengambil masa 62 minit untuk menewaskan wakil AS, Andy Roddick, 6-2, 6-2. - AFP

No comments:

Post a Comment