Monday, 14 November 2011

Federer menang Paris Masters kali pertama (15/11/2011)

PARIS: Bintang tenis Switzerland, Roger Federer menjuarai Paris Masters untuk pertama kali apabila menewaskan pemain Perancis, Jo-Wilfried Tsonga 6-1, 7-6 (7/3) dalam aksi final yang berat sebelah, kelmarin.
Ia kejohanan ketiga dimenangi pemain ketiga dunia itu sepanjang tahun ini selepas Doha pada Januari dan kejohanan di bandar kelahirannya, Basel, minggu lalu. Ia juga adalah kemenangan Masters ke-18, kurang satu kejuaraan berbanding Rafael Nadal yang sudah memenangi 19 kali, selain kejuaraan ke-69 dalam kariernya.

“Ini adalah impian yang menjadi kenyataan dan sudah terlalu lama saya menantinya,” kata Federer selepas menerima trofi Paris Masters yang disempurnakan bintang bola keranjang Perancis, Tony Parker.
“Saya terkejut dengan corak permainan baik yang saya pamerkan.” Kemenangan itu membolehkan Federer menjadi pemain kedua selepas Andre Agassi muncul juara Terbuka Perancis di Roland Garros pada 2009 dan kejuaraan Paris Bercy itu.

Federer gagal menambah kejuaraan Grand Slam ke-16 tahun ini dan dia berehat selama enam minggu selepas Terbuka Amerika Syarikat (AS) apabila tewas kepada Novak Djokovic pada separuh akhir yang kemudiannya muncul sebagai juara.

Namun kemenangan di Paris menyaksikan dia mempamerkan antara permainan terbaik kariernya dan berada dalam prestasi terbaik untuk mempertahankan kejuaraan pusingan akhir Jelajah ATP yang bakal berlangsung di London, bermula 22 November ini.

Tsonga yang turut layak beraksi pada kejohanan di London itu mengakui kehebatan Federer.

“Bagi saya Roger adalah pemain terbaik dan dia akan kekal pada tahap itu untuk tempoh yang lama,” katanya. - AFP

No comments:

Post a Comment