Friday 25 November 2011

Federer bertenaga (26.11.2011)

LONDON: Juara bertahan, Roger Federer mengekalkan rekod permainan sempurna di Final Jelajah Dunia ATP tahun ini selepas menewaskan Mardy Fish dari Amerika Syarikat, 6-1, 3-6, 6-3, kelmarin.
Federer sah menjuarai Kumpulan B dan layak ke separuh akhir selepas memenangi dua perlawanan pertama sebelum menjinakkan Fish di O2 Arena, London.

Kejayaan ke-37 Federer di Final Jelajah itu meletakkan dia di tangga kedua di depan Boris Becker dan ketinggalan dua kemenangan di belakang, Ivan Lendl.
Meskipun lawannya di separuh akhir belum ditentukan tapi jika jaguh Switzerland itu mampu mengekalkan rentak permainan, dia dijangka mampu muncul juara buat kali keenam dan menyamai rekod kemenangan Lendi.

Fish yang gagal ke separuh akhir selepas tewas di tangan Rafael Nadal dan Jo-Wilfried Tsonga sebelum ini terpaksa pulang tanpa sebarang kemenangan.

“Saya sudah jangka Fish bakal menghidangkan permainan yang mantap. “Dia kerap melakukan pukulan lebih awal dan saya lega berjaya memenangi perlawanan ini.
“Saya gembira menang semua perlawanan peringkat kumpulan. Prestasi saya konsisten sejak Terbuka Amerika Syarikat (AS),” kata Federer. - AFP

No comments:

Post a Comment