Wednesday, 9 November 2011

Esther terseliuh (10/11/2011)

BERITA buruk buat skuad bowling negara apabila pemain elit, Esther Cheah mengalami kecederaan buku lali selepas terjatuh dari bas pasukan ketika tiba untuk menjalani latihan di Pusat Bowling Jaya Ancol, semalam.
Namun pemain itu memberi jaminan persembahannya tidak akan terjejas dengan kecederaan terbarunya yang memaksanya untuk berehat dua hari.

Mujurlah pertandingan bowling hanya bermula pada 15 November ini dan dia mempunyai cukup masa untuk pulih.
“Saya ingat ada retak di buku lali ini tapi selepas pemeriksaan doktor dari Institut Sukan Negara, semuanya OK dan tiada keretakan. Namun saya dinasihatkan supaya berehat dua hari sebelum menyambung latihan,” katanya.

Esther yang memenangi empat pingat emas Sukan Sea, satu dalam acara berpasukan wanita pada temasya 2005 di Manila dan tiga di Korat dua tahun lalu menerusi beregu, trio dan berpasukan, menjadi antara sandaran skuad negara yang mahu membawa pulang sekurang-kurangnya dua emas daripada temasya kali ini.

“Saya tergelincir ketika turun dari bas sebaik tiba di pusat bowling. Buku lali sakit kerana terseliuh dan saya terpaksa pulang semula ke hotel untuk menjalani pemeriksaan dengan doktor ISN. Mujurlah kecederaan ini tidak serius dan saya fikir ia tidak menjejaskan tumpuan tapi saya terpaksa berjalan menggunakan tongkat,” katanya.

Pertandingan bowling yang menawarkan 12 emas hanya akan bermula 15 November ini. Esther akan turun pada sebelah petang hari pertama pertandingan.

No comments:

Post a Comment