Saturday 12 November 2011

Enam tonggak nadi skuad Kim Swee (13/11/2011)

PENGALAMAN enam pemain daripada skuad juara Sukan Sea 2009 bakal menjadi teras kekuatan skuad bola sepak bawah 23 tahun negara apabila turun dengan misi mempertahankan pingat emas temasya itu di Indonesia kali ini.
Baddrol Bakhtiar, Mahali Jasuli, Mohd Asraruddin Putra Omar, Mohd Muslim Ahmad, K Gurusamy dan Ahmad Fakri Saarani adalah pemain yang masih layak beraksi berdasarkan had umur untuk bersama skuad negara kendalian jurulatih Ong Kim Swee.

Kesemua pemain ini bakal memainkan peranan penting dalam memastikan pingat emas yang dimenangi dua tahun lalu di Laos mampu dipertahankan terutama Baddrol yang dilantik selaku kapten.
“Rata-rata pemain dalam skuad ini adalah pemain muda dan tidak pernah beraksi di Sukan Sea sebelum ini jadi sebagai pemain lebih berpengalaman saya harus membantu pemain-pemain lain.

“Tidak ada banyak bezanya skuad sekarang dengan skuad 2009 melainkan dari segi umur saja. Bagi saya pasukan kali ini juga mempunyai kelebihan kerana mereka cukup berpengalaman beraksi di pentas antarabangsa,” katanya yang ditemui sebelum berlepas ke Jakarta Khamis lalu.

Pemain tengah yang boleh bertindak di posisi serangan itu berkata, dia tidak berasa tertekan meskipun diberikan tugas sebagai kapten, mengambil alih tugas yang dipikul penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat.

“Saya tidak ada masalah untuk melaksanakan tugas sebagai kapten sebab tugas ini saya sudah dipikul ketika skuad ini bertanding dalam kejohanan jemputan Persekutuan Bola Sepak Vietnam di Hanoi dan juga ketika perlawanan persahabatan menentang Laos,” jelas Baddrol yang kini berusia 23 tahun.

Kim Swee membariskan 20 pemain bagi menggalas cabaran negara dalam Kumpulan A bersama pasukan tuan rumah Indonesia, Thailand, Singapura dan Kemboja.

Kumpulan B pula membabitkan naib juara, Vietnam, Myanmar, Filipina, Timor Leste, Brunei dan Laos.

Skuad negara akan memulakan kempen temasya sukan edisi ke-26 dengan menentang Singapura esok di Stadium Gelora Bung Karno.

No comments:

Post a Comment