Wednesday 9 November 2011

Emy bersara jika dapat emas (10/11/2011)

SRIKANDI silat negara, Emy Latip hanya akan mempertimbangkan untuk bersara sekiranya mampu membawa pulang pingat emas daripada temasya Sukan Sea Indonesia kali ini.
Pesilat berusia 27 tahun kelahiran Lahad Datu, Sabah itu akan tampil buat kali kelima pada temasya dwitahunan itu selepas penyertaannya di Vietnam (2003), Manila (2005), Korat (2007) dan Laos (2009).

“Memang saya berazam untuk meraih pingat emas sekali lagi sebelum memikirkan untuk bersara.
“Usia saya semakin meningkat dan mungkin saya tidak setangkas dulu lagi. Lagipun, seperti wanita lain, saya juga mahu berumahtangga.

“Temasya ini mungkin banyak maknanya buat saya kerana selain mahu mempertahankan emas dua tahun lalu, saya juga mahu merangkul emas terakhir sebelum bersara,” katanya semalam.

Emas dalam Kelas C (50-55kg) dua tahun lalu di Laos adalah yang pertama buat gadis manis itu yang sebelumnya sekadar meraih gangsa (2003), perak (2005) dan gangsa (2007).

Tidak ramai yang tahu pesilat itu sebenarnya bermula dengan sukan taekwondo tetapi beralih kepada silat ketika berusia 19 tahun pada 2003 dan pernah mewakili Sabah di peringkat kebangsaan.

“Saya sukar mendapat tempat dalam skuad kebangsaan dan jurulatih taekwondo mencadangkan supaya saya menceburi sukan silat dan ia nyata tidak mengecewakan.

“Keputusan saya itu tepat kerana pada tahun pertama, saya sudah berjaya merebut tempat dalam skuad kebangsaan dan beraksi di Sukan Sea,” katanya.

No comments:

Post a Comment