Saturday 12 November 2011

Djokovic, Federer mara (13/11/2011)

BASEL (Switzerland): Novak Djokovic terpaksa berhempas pulas manakala Roger Federer tidak berdepan masalah sebelum kedua-duanya mara ke separuh akhir Kejohanan Dalam Dewan Switzerland, semalam.
Pilihan utama, Djokovic bangkit menewaskan Marcos Baghdatis 2-6, 6-2, 6-3 untuk mengesahkan tahap permainannya tidak terjejas.

Pemain Serbia itu akan menentang pemain Jepun, Kei Nishikori yang mengambil masa hampir tiga jam untuk menewaskan pemain Kazakhstan, Mikhail Kukushkin, 6-4, 5-7, 6-4.
Federer, pemain nombor tiga dunia beraksi hebat di depan penyokong sendiri untuk merekodkan kemenangan 6-3 6-2, yang ke-21 daripada 23 pertemuan ke atas pemain Amerika Syarikat, Andy Roddick.

Federer akan bertemu rakan senegara Stanislas Wawrinka yang menewaskan pemain Jerman, Florian Mayer 6-2, 6-2 di separuh akhir.

Aksi Federer selama 64 minit dalam pertemuan keempat mereka di Basel, menyaksikan Federer menang semua perlawanan dan hanya tewas satu set secara keseluruhan.

“Ia hari sukar buat Andy kerana dia gagal menampilkan aksi terbaiknya,” kata Federer yang berhasrat memenangi gelaran kedua musim ini selepas menakluki Doha pada awal tahun.

“Ini satu-satunya perlawanan dia gagal melakukan servis terbaik. Dia gagal memberi tumpuan terhadap permainannya. “Permainan saya, terutamanya servis, bertambah baik. Saya gembira mara ke separuh akhir dan pastinya sukar apabila menentang Stan,” katanya.

Sementara itu, Djokovic yang bertanding buat kali pertama selepas berehat enam minggu akibat sakit belakang berjaya mengatasi kehebatan servis Baghdatis untuk mara sebagai empat pemain terbaik dalam kejohanan yang menyaksikannya menewaskan Federer pada 2009.

“Saya tidak bermain dengan baik tetapi yang penting, saya menang,” kata Djokovic. Ia sukar. Marcos bermain dengan baik.” -AFP

No comments:

Post a Comment