Sunday 20 November 2011

Cheau Xuen tahan sakit (21/11/2011)

TAI Cheau Xuen hampir mahu menarik diri daripada acara gabungan Nandao dan Nangun wanita pada temasya Sukan Sea ke-26 di Jakarta, semalam.
Namun ketabahannya beraksi sekalipun berasa sakit di tapak kakinya kerana kecederaan, membuahkan hasil apabila dia menamatkan saingan dengan pingat emas acara itu selepas sekadar berpuas hati dengan pingat perak dalam acara Nanquan, Jumaat lalu.

Cheau Xuen terpaksa menelan dua pil penahan sakit selepas bersarapan pagi semalam.
“Selepas sarapan, saya mengambil dua pil penahan sakit kerana tapak kaki saya cedera semula selepas tampil dalam acara Nandao semalam.

“Mulanya saya terfikir juga untuk menarik diri kerana kesakitan ini amat terasa, namun saya cuba menguatkan semangat untuk beraksi di gelanggang.

“Saya tak sangka pula ia menghasilkan pingat emas selepas sebelum ini hanya meraih perak dalam acara Nanquan,” katanya.
Cheau Xuen yang berasal dari Seremban menduduki tangga kedua dengan perbezaan 0.02 mata di belakang rakan senegara, Diana Bong namun dia bangkit dengan persembahan lebih kemas dalam acara Nangun semalam apabila meraih 9.65 mata.

Keputusan itu membolehkan Cheau Xuen mengumpul mata keseluruhan 19.35, mengetepikan atlet Indonesia, Dessy Indri Astuti yang meraih 19.05 mata manakala Diana sekadar merangkul gangsa dengan 18.97 mata.
Ia kekecewaan kedua berturut-turut buat Diana, yang tampil sebagai peserta pilihan, selepas dia gagal mempertahankan pingat emas dalam acara Nanquan.

Skuad wushu negara turut menguasai acara gabungan Nandao dan Nangun lelaki apabila Kevan Cheah dan Chee Zhong Koo meraih pingat emas dan perak buat kontinjen negara.

Kevan mengumpul 19.41 mata untuk emas, Zhong Koo 19.39 manakala Aung Wai Phyo dari Myanmar gangsa dengan 19.17.

No comments:

Post a Comment