Monday 14 November 2011

Catriona ungguli Jemputan Lorena (15/11/2011)

GUADALAJARA (Mexico): Pemain golf Scotland, Catriona Matthew menjuarai Kejohanan Jemputan Lorena Ochoa apabila melakukan satu bawah par-71 pada pusingan akhir, kelmarin untuk mengatasi pencabar terdekat dengan kelebihan empat pukulan sekali gus menggondol kejuaraan keempat Jelajah LPGA dalam kariernya.
Pemain berusia 42 itu yang mencatatkan kemenangan terakhir pada 2009 di Terbuka Wanita British mengumpul 12 bawah par-276 pada aksi di Kelab Country Guadalajara itu.

“Saya mempunyai kelebihan yang besar selepas beraksi sembilan lubang,” kata Matthew yang meraih AS$200,000 (RM627,299) selaku juara.
“Saya tak pasti sama ada ia lebih sukar apabila mempunyai kelebihan yang besar. Saya tidak tahu sama ada mahu mempamerkan corak permainan agresif, mujur saya mempunyai kelebihan yang mencukupi.” Pemenang tahun lalu dari Korea Selatan, IK Kim dan pemain Sweden, Anna Nordqvist menamatkan saingan dengan 71 dan terikat di tempat kedua dalam kejohanan yang membabitkan 36 pemain itu.

Pemain Amerika Syarikat (AS), Juli Inkster melakukan 72 untuk terikat di tempat keempat bersama pemain Jepun, Ai Miyazato (71) serta pemain Korea Selatan, Hee Kyung Seo (69) dengan lima bawah par.

Namun Catriona yang berada di ranking ke-34 dunia paling konsisten pada kejohanan terbabit apabila melakukan sekitar 60 pukulan dalam tiga daripada empat pusingan.

Dia turun beraksi dalam pusingan akhir dengan kelebihan tiga pukulan ke atas Suzann Pettersen dan melakukan birdie pada dua lubang awal untuk meningkatkan jurang kepada lima pukulan ke atas pemain Norway itu. - AFP

No comments:

Post a Comment