Friday, 11 November 2011

Capello uji barisan eksperimen (11/11/2011)

LONDON: Tanpa pemain bintang, John Terry, Wayne Rooney, Steven Gerrard dan Rio Ferdinand yang disisihkan atas alasan berbeza, England bakal menurunkan barisan eksperimen yang dianggotai pemain muda untuk menentang Juara Dunia dan Eropah, Sepanyol pada perlawanan persahabatan, awal pagi Ahad.
“Saya ingin menguji kemampuan pemain baru dan menilai prestasi mereka. Sepanyol pasukan terhebat dunia dengan sistem permainan berbeza dan saya ingin lihat sejauh mana kami mampu mengekang pergerakan mereka.

“Ini adalah medan ujian buat anak buah saya dan saya ingin melihat potensi mereka,” kata Fabio Capello.
Skuad kali ini menyenaraikan empat pemain yang pertama kali mewakili negara, penjaga gawang Fulham, David Stockdale, pemain pertahanan Tottenham Hotspur, Kyle Walker, pemain tengah Everton, Jack Rodwell dan penyerang Chelsea, Daniel Sturridge. Empat lagi pemain pula hanya mengumpul tujuh cap, pemain pertahanan Manchester United, Phil Jones (1 cap), penyerang United, Danny Wellbeck (2), penyerang Fulham, Bobby Zamora (1) dan penyerang Aston Villa, Gabriel Agbonlahor (3) turut mengharapkan peluang mengagumkan Capello dalam dua perlawanan persediaan Euro 2012 ini.

Sementara itu, skuad Sepanyol dijangka tidak perlu lagi bekerja keras menjelang perlawanan yang berlangsung Poland dan Ukraine, tahun depan.

Jurulatih pasukan, Vicente del Bosque kekal menggunakan khidmat Fernando Torres meskipun penyerang Chelsea itu masih belum mempamerkan aksi terbaiknya sejak tahun lalu. Torres perlu membuktikan kemampuannya semula dengan menjaringkan gol bermula sekarang hingga Jun. - Reuters

No comments:

Post a Comment