Wednesday 9 November 2011

Capello bimbang (10/11/2011)

LONDON: Fabio Capello mengaku bimbang nasib England apabila turun menentang Sepanyol kerana pasukannya beraksi menentang juara dunia itu tanpa pemain bintang.
Pengurus pasukan England itu kini tanpa Steven Gerrard, John Terry dan Wayne Rooney menjelang persediaan menghadapi Sepanyol di Stadium Wembley, minggu ini.

Gerrard bersama tonggak pasukan seperti Ashley Young dan Jack Wilshere kini mengalami kecederaan tapi pada masa sama Capello memutuskan untuk menyisihkan Rooney dan Terry bagi persediaan pusingan akhir Euro 2012.
“Kami menentang Sepanyol tanpa Rooney, Gerrard, Terry. Tapi kami akan lakukan yang terbaik.

“Ujian ini amat sukar. Saya akan menguji kemampuan pemain baru dan muda untuk menilai potensi mereka. Pastinya kami bakal berdepan tekanan dari penyokong.

“Sepanyol pasukan terhebat dunia dan perlawanan persahabatan ini penting buat kami,” katanya.

Rooney tidak dipilih kerana andai rayuannya ditolak UEFA, dia bakal digantung tiga perlawanan pada saingan peringkat kumulan Euro 2012 selepas dibuang padang pada pertemuan menentang Montenegro. Capello kini tersepit. Meskipun ingin menguji kemampuan pemain muda, sejarahnya bersama Real Madrid di Sepanyol menyebabkan beliau tidak mahu kalah dan diaibkan juara dunia itu.

Tidak hairanlah jika Capello menekankan kehebatan Xavi dan Andres Iniesta bersama dua lagi pemain Barcelona, David Villa dan bekas kapten Arsenal, Cesc Fabregas.

“Saya bimbang bagaimana kami akan mengekang pergerakan Cesc. Dia pemain hebat,” katanya sambil menambah Sepanyol selaku juara adalah pasukan pilihan bagi final musim panas tahun depan.

“Belanda dan Jerman tidak kurang hebat dan kedua-duanya mara ke separuh akhir Piala Dunia. Kami bagaimanapun pastinya ingin layak ke final,” katanya lagi.

Mengulas masa depannya, Capello menolak khabar angin akan meninggalkan England sebelum kontraknya tamat hujung musim ini. Beliau dilapor menerima tawaran dari Timur Tengah dan Russia.

“Saya gembira kami berjaya layak ke Euro 2012 tapi saya tidak pasti apa yang akan saya lakukan selepas itu. Ia terpulang pada pencapaian pasukan,” katanya. - Agensi

No comments:

Post a Comment