Sunday 13 November 2011

Cabaran antara regu lebur

SANDARAN emas dalam acara regu sepak takraw di Sukan Sea Indonesia lebur selepas regu negara tewas 3-0 kepada regu tuan rumah di Pusat Konvensyen Sriwijaya, semalam.
Malaysia menurunkan regu Norshahruddin Mad Ghani sebagai tekong, Muhammad Syazwan Husin (killer) dan Farhan Adam (apit kiri) tunduk kepada regu Indonesia dibarisi tekong, Victor Eka Prasetyo, Saiful Rizal (apit kiri) dan killer Syamsul Hadi dengan 15-10, 15-11, 15-11.

“Saya mohon maaf kerana banyak servis tidak menjadi. Sementara pihak lawan tidak mensia-siakan mata menerusi servis,” kata Norshhruddin dan hal itu diakui ketua jurulatih negara, Jamaluddin Arshad.
“Indonesia tidak buang mata menerusi servis malah mereka bijak melakukan hadangan ketika killer kita melakukan rejaman,” kata Jamaluddin.

Malaysia ke separuh akhir selepas muncul juara Kumpulan B dengan menewaskan Singapura 3-0, Laos 3-0 dan kemenangan percuma diberikan oleh Vietnam.

Indonesia akan bertemu regu Thailand yang menewaskan Laos dalam satu lagi separuh akhir untuk penentuan emas hari ini.

Justeru, Jamaluddin merancang merombak strategi acara berpasukan esok.

Malaysia akan memulakan acara berpasukan menentang Indonesia, diikuti Thailand dan Myanmar dalam format liga sepusingan bagi menentukan juara.
Kali terakhir Malaysia memenangi pingat emas Sukan Sea ialah di Manila pada 2005, menerusi acara antara regu yang diterajui Normanizam Ahmad, Mohd Futra Abd Ghani dan Mohd Zulkarnain Arif.

No comments:

Post a Comment