Friday 11 November 2011

Bola Shebbie: Keyakinan mula terserlah (12/11/2011)

MINGGU ini membangkitkan pelbagai emosi berbeza! Pada petang Isnin, saya tonton perlawanan bola sepak yang menyaksikan kedua-dua pasukan beraksi dengan niat untuk pukul-memukul serta meletupkan seberapa banyak bola.
Perlawanan bola sepak itu bagaikan satu pertandingan untuk menentukan siapa juara sepakan liar.

Selama 90 minit kedua-dua pasukan mempersembahkan ‘anti football’. Keseluruhan pemain seperti melepaskan dendam menerusi sukan bola sepak dan akhirnya, saya berasa lebih letih daripada pemain yang beraksi! Sebaliknya, pada petang Rabu, saya menyaksikan perlawanan bola sepak yang sungguh berbeza dengan kedua-dua pasukan menunjukkan imaginasi serta keselesaan mengawal serta ketenangan membuat hantaran. Pemain kedua-dua pihak beraksi pada tahap memberangsangkan walaupun ini hanya perlawanan peringkat umur, kelihatan kesemua pemain beraksi dengan penuh yakin.
Kedua-dua perlawanan yang saya tonton di kaca televisyen itu membabitkan pasukan Bawah 23 Tahun negara yang beraksi di Sukan Sea 2011 Indonesia.

Pada petang Isnin, pasukan kita beraksi seperti budak sekolah menentang Singapura. Pada petang Rabu pula, mereka beraksi cemerlang ketika bertemu Thailand.

Saya tidak peduli bagaimana persembahan lawan tapi prestasi pasukan kita berbeza seperti siang dan malam. dari Isnin ke Rabu. Adakah kita terbawa-bawa dengan corak permainan Singapura yang lasak? Apabila beraksi menentang Thailand yang lebih selesa serta tenang, kita pula meningkat dua tahap berbanding ketika menentang Singapura. Ketua pasukan Baddrol Bakhtiar melakukan larian ala Steven Gerrard ke dalam kotak penalti untuk menyambut hantaran dengan satu sentuhan yang baik sebelum melakukan rembatan untuk gol pertama Malaysia.

Apabila Izzaq Farris melakukan ‘placing’ dengan kaki kiri untuk gol kemenangan, terasa satu ketenangan di hati! Kita sebenarnya mampu beraksi baik dan seterusnya perlu mengekalkan corak permainan seperti yang selesa dengan kita.

Sekiranya kita terikut-ikut corak permainan lawan, maka tidak akan berjaya kerana kita tidak akan dapat mencorakkan rentak serta tempo permainan. Pemain yang baik akan menjadi pemain sederhana dan di sinilah kita harus berfikir panjang bagaimana ingin mencorak permainan serta identiti pasukan negara.

Di sini saya berpendapat pihak jurulatih serta pemain sudah dapat membezakan serta memilih corak permainan yang sesuai dengan pasukan kita. Seterusnya, dan yang lebih penting, pemain kita harus yakin mereka mempunyai kebolehan bersaing di Sukan Sea 2011 Indonesia ini.

No comments:

Post a Comment