Friday 11 November 2011

Bisa Ngomong: Tukang sapu jual kad sim (11/11/2011)

TEPAT jam 11.10 pagi Isnin lalu, sejarah sudah tercatat dalam diri saya sendiri sebaik menjejakkan kaki di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno Hatta di Jakarta.

Ini kali pertama saya selamat ‘mendarat’ di kota raya yang memiliki kepadatan penduduk kira-kira lebih 9 juta.
Mungkin di kalangan media Malaysia yang bertugas pada Sukan Sea kali ini, hanya saya seorang yang bakal merasai pengalaman pertama ini kerana kebanyakan mereka menganggap Jakarta bukan tempat yang asing.

Malah saya juga bakal tampil sebagai wartawan buat kali pertama ketika temasya ini sudah memasuki edisi ke-26.

Apabila keluar dari lapangan terbang, saya tercari-cari rakan saya Syed Ridhuan Ahmad, wartawan Berita Harian yang turut serta membuat liputan apabila secara tiba-tiba hilang.

Selepas hampir 10 minit mencari, akhirnya saya ternampak dia sedang rancak berborak dengan seorang tukang sapu sampah di pintu keluar lapangan terbang.

Sangkaan awal saya, dia hanya berbual kosong tapi sebaik saya menghampiri rupa-rupanya dia sedang membeli ‘sim card’ telefon bimbit dengan tukang sapu sampah itu.

Saya perhatikan, baju uniformnya yang mempunyai dua kocek diluar penuh dengan kotak sim card baru untuk dijual kepada pelanggan-pelanggan.

Si penjual yang berusia lewat 40an itu terus mempromosikan barangannya iaitu talian telefon bimbit dipanggil simPATI.

Katanya simPATI adalah antara tiga talian telefon terbaik di Indonesia, selain XL dan Axis. Tapi itu yang diberitahu olehnya, sama ada benar atau tidak saya pun tidak tahu.

Tidak pernah pula saya temui urusniaga talian telefon sebegini di Kuala Lumpur, tapi inilah Jakarta.

Mungkin banyak lagi yang bakal saya temui sepanjang berada di sini selama 18 hari untuk membuat liputan atlet negara di Sukan Sea edisi ke-26 ini.
Semoga ketemu lagi.

No comments:

Post a Comment