Thursday 24 November 2011

Barca benam Milan (25.11.2011)

MILAN: Barcelona mempamerkan persembahan mantap untuk mengatasi AC Milan, 3-2 di San Siro sekali gus muncul juara Kumpulan H Liga Juara-Juara, awal pagi semalam.
Jaringan sendiri bekas pemain Barca, Mark van Bommel, sepakan penalti Lionel Messi dan Xavi membantu juara bertahan itu mencatatkan kemenangan dalam perlawanan mendebarkan itu.

Walaupun gagal menguasai permainan, Milan yang sudah pasti menduduki tempat kedua kumpulan memberikan saingan sengit dan menyamakan kedudukan menerusi seorang lagi bekas pemain Barcelona, Zlatan Ibrahimovic dan rembatan cantik Kevin-Prince Boateng.
Namun kelab Sepanyol itu melenyapkan keraguan siapa sebenarnya pasukan terbaik dengan persembahan bersemangat, hantaran pantas tepat dan aksi bertenaga.

Walaupun melepaskan dua gol, jurulatih Barca, Pep Guardiola tidak malu kerana mereka turun menentang pasukan hebat seperti Milan. “Pastinya kami tidak boleh harapkan perlawanan yang mudah dimenangi di San Siro,” katanya.

“Jika bermain secara bertahan kami boleh mengurangkan seorang penyerang dan meletakkan lebih ramai pemain di barisan pertahanan.
“Selain peluang dicipta Milan, perkara biasa dengan kualiti dan pasukan yang mereka miliki, kami juga boleh menceritakan peluang yang kami cipta.” Boateng yang menjaringkan gol kedua berasa pasukannya lebih banyak mencipta peluang berbanding Barca.

“Ia satu perlawanan yang hebat, kami tidak bernasib baik namun paling penting kami sudah layak,” katanya.
“Barcelona pasukan terbaik dunia namun kami beraksi cukup baik dan apabila semua pemain memberikan komitmen sepenuhnya, kami mampu mencabar mana-mana kelab.” Jurulatih Milan, Massimiliano Allegri berkata, ia adalah proses pembelajaran yang bagus untuk barisan pemainnya.

“Penting beraksi dalam perlawanan seperti ini untuk mengukur tahap sebenar kami,” katanya. - AFP

No comments:

Post a Comment