Thursday 24 November 2011

Bangi Hunters sedia (25/11/2011)

BANGI Hunters dari Bandar Baru Bangi bersedia menghadapi cabaran Kejohanan Ragbi Tujuh Sepasukan Jonah Jones di padang Kelab Diraja Selangor (RSC) Bukit Kiara bermula esok dan Ahad ini.
Kelab gabungan Kesatuan Ragbi Selangor (KRS) itu kali kedua menyertai kejohanan tertua itu bagi kategori Kelab yang disertai 24 pasukan dari dalam dan luar negara.

Pengurus, Mohd Zahiruddin Datuk Ahmad berkata, penyertaan kali pertama dalam kategori sama menyaksikan pasukan itu layak ke separuh akhir bahagian Bowl.
Tetapi kali ini dengan ketiadaan Liga Super yang diperkenal tiga musim lalu, semua pasukan bersaing dalam kategori sama termasuk pasukan elit seperti Cobra, NS Wanderers, Blackhawks, Asas Rugby, Bandaraya Dragons, JLJ Diraja dan Hong Kong Lions.

“Sudah pasti saingan kali ini bertambah sengit dan mendebarkan. Bagaimanapun kami sudah bersedia menghadapi cabaran getir ini,” katanya pada majlis cabutan undi di Kelab RSC, kelmarin.

Hunters yang bersaing dalam liga KRS Divisyen Satu diundi dalam Kumpulan B bersama pasukan pilihan, Bandaraya Dragons, Sahoca dari Kedah dan Sekolah Menengah Sains Selangor (SMSS).
Bagi menghadapi cabaran itu, Hunters menampilkan beberapa pemain Piala Agong dan Sukma Selangor musim ini.

Antara mereka termasuk Aiman Kamaruzaman, Mohd Firdaus Ghani, Rusli Zain dan Danny Ho serta pemain Fiji yang menuntut di Uniten Bangi, Mojee Chabebula.
Sementara itu, Pengarah Pertandingan, Raimi Yusof menyatakan, Liga Super yang diperkenal tiga lalu dihentikan tahun ini dan akan disambung tahun depan.

“Ini disebabkan beberapa faktor, antaranya kejohanan itu diadakan lewat daripada jadual asal, Ogos lalu kerana bertembung dengan bulan puasa dan kemudian berlangsungnya kejohanan Piala Dunia,” katanya.

Bagaimanapun, katanya kejohanan tetap meriah dengan kehadiran 48 pasukan dan mereka dibahagikan kepada empat kategori iaitu Kelab, Remaja Bawah 21 Tahun, Wanita dan Heavyweight.

No comments:

Post a Comment