Wednesday 23 November 2011

Azraai waspada (24.11.2011)

NEGERI Sembilan hanya akan memilih pemain import berkualiti untuk diserapkan dalam pasukan negeri itu kerana tidak mahu ada `penumpang’ apabila memilih pemain yang kurang berkualiti, sebagai persediaan menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim depan.
Ini berikutan tujuh pemain import yang diuji dalam beberapa perlawanan persahabatan di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, baru-baru ini, tidak memenuhi kriteria diperlukan.

Ketua jurulatihnya, Mohd Azraai Khor Abdullah, berkata kebanyakan pemain import dari Brazil, Colombia dan Serbia yang diuji itu tidak menunjukkan prestasi dan piawaian diperlukan bagi menguatkan pasukan.
“Melihat kepada pemain diuji, tiada yang menepati kriteria seperti mana kami mahukan, namun kami tidak perlu terburu-buru untuk mengambil pemain import kerana masih ada masa dan akan terus mencari pemain lebih berkualiti,” katanya.

Pengendali berpengalaman itu berkata, pihaknya akan menguji beberapa lagi pemain import dalam tempoh terdekat dari pasukan La Liga Divisyen Dua, Sepanyol dan juga pemain dari Cameroon.

“Kami berharap akan mendapat pemain import yang benar-benar berkualiti sebelum akhir bulan ini bagi membolehkan usaha membentuk pasukan mantap dapat dilakukan menjelang tirai saingan Liga M bermula 7 Januari nanti,” katanya.

No comments:

Post a Comment