Saturday 12 November 2011

Atlet keracunan (13/11/2011)

KONTINJEN negara di Palembang diserang cirit birit dikhuatiri akan menjejaskan sasaran membawa pulang 22 pingat emas dari kota di Sumatera Selatan.
Ketua Kontinjen Datuk Syed Mustaffa Syed Ali yang mengesahkan kewujudan masalah itu berkata, lebih 10 atlet mengalaminya.

Di Dewan Gimnastik Kompleks Jakabaring, semua lima gimnas lelaki mengalami cirit birit dan terpaksa ulang alik ke tandas hingga awal pagi semalam.
Namun semua gimnas turun beraksi dalam acara berpasukan yang juga kelayakan untuk acara aparatus individu.

“Kami hanya makan makanan yang disediakan di perkampungan sukan tapi tetap mengalami cirit birit. Mungkin makanan di sini tercemar kerana kebersihan penyediaannya tidak dijaga,” kata gimnas Mohd Hamzarudin Nordin.

Begitupun gimnas negara tetap turun bertanding bermula pagi semalam, namun malang menimpa Hamzarudin kerana kakinya terseliuh ketika melakukan pendaratan dalam senaman lantai.

Selain gimnas, pemain tenis Si Yew Ming turut mengalami cirit birit hingga menyebabkannya berhati-hati untuk mengambil makanan dan minuman yang disediakan penganjur.

“Semalam saya makan salad di perkampungan sukan, lepas itu terus kena cirit birit. Tak sangka sayuran juga tidak bersih, selepas ini saya hanya akan makan sayuran yang sudah dimasak,” kata Yew Ming selepas menjalani latihan di Pusat Lapangan Tenis Jakabaring.

Yew Ming akan bertanding dalam acara perseorangan lelaki dan beregu campuran bersama Jawairiah Noordin dan hanya akan turun beraksi pada 16 November ini.

Selain itu, penembak negara turut dilaporkan mengalami cirit birit. Pihak sekretariat Majlis Sukan Negara (MSN) dikatakan mengambil langkah segera dengan melaporkan masalah kebersihan kepada penganjur Sukan Sea XXVI.

No comments:

Post a Comment