Monday 21 November 2011

‘Apong’ kecewa tapi bangga (22/11/2011)

SKUAD angkat berat negara menutup tirai Sukan Sea ke-26 dengan pingat gangsa menerusi peserta wanita Nurjannah Betrisyah dalam kategori 69kg ke atas.
Pingat itu sememangnya dijangka kerana hanya tiga atlet mengambil bahagian tapi yang penting Nurjannah yang juga pelapis kebangsaan berjaya mengatasi rekod kebangsaan.

“Agak kecewa kerana gagal melakukan angkatan lebih baik tapi dalam masa sama saya bangga kerana berjaya mencatat rekod baru kebangsaan,” kata Nurjannah yang baru setahun memeluk Islam.
Nurjannah yang nama asalnya Tey Shan Fung lebih popular dengan panggilan ‘Apong’ oleh jurulatihnya Hidayat Hamidon baru berusia 22 tahun melakukan angkatan seberat 88kg dalam acara snatch serta 120 dalam clean & jerk mengatasi rekod lama 70kg (snatch) dan 89kg (clean & jerk).

“Saya langsung tidak menjangka melakar rekod baru kebangsaan. Tapi saya berusaha bersungguh-sungguh untuk menukar warna pingat, itulah yang menjadi tonik kekuatan saya hari ini apa lagi ketika bersaing dengan peserta angkat berat berpengalaman di Kejohanan dunia.” Selepas sekadar mengangkat 88kg pada snatch berbanding peserta tuan rumah Novita Sherly Kurn dan Riska anjani Yasin 101kg, Nurjannah mencabar dirinya dengan mencuba angkatan 131kg dalam clean & jerk berbanding pihak lawan 123kg dan 117kg untuk semendapatkan gangsa.

Namun dia ternyata kurang pengalaman kerana baru kali pertama bersaing di pentas Sukan Sea dan kejohanan ini hanyalah kejohanan antarabangsa kedua buatnya selepas Kejohanan Remaja Dunia tahun ini.
“Saya harap mendapat lebih banyak peluang beraksi di kejohanan antarabangsa selepas ini kerana saya cetek pengalaman dan pendedahan. Seperti di sini, pada awalnya saya jangka suasana pertandingan seperti di Malaysia, penontonnya berhemah dan tidak mengganggu kosentrasi peserta ketika melakukan angkatan.

“Saya memang tidak menjangka suasana bising begini dan tidak dapat mengawal emosi, saya ‘mental’ seketika terutamanya dalam acara snatch.
“Begitupun saya tetap gembira dengan persembahan kali ini.”

No comments:

Post a Comment