Thursday 24 November 2011

APOEL ukir sejarah (25.11.2011)

SAINT PETERSBURG (Russia): APOEL Nicosia menjadi kelab pertama Cyprus layak ke peringkat kalah mati Liga Juara-Juara selepas terikat tanpa jaringan dengan Zenit St Petersburg dalam pertembungan Kumpulan G di Russia, awal pagi semalam.
APOEL yang ditubuhkan di kedai manisan gula-gula 85 tahun lalu mengumpul sembilan mata selepas lima perlawanan dan satu mata mengatasi Zenit manakala Porto menewaskan Shakhtar Donetsk 2-0 untuk berada di tempat ketiga dengan tujuh mata.

Walaupun APOEL tewas dalam perlawanan terakhir menentang Shakhtar Donetsk dua minggu lagi hanya Zenit atau Porto mampu mengatasi mereka dengan kedua-dua pasukan itu akan bertemu sesama sendiri.
Pengurus kelab, Ivan Jovanovic tidak dapat menyembunyikan kegembiraannya dengan pencapaian bersejarah itu.

“Ia keputusan yang hebat untuk kami,” katanya. “Kami cuba mengamalkan corak menyerang. Kami mungkin pasukan kerdil berbanding gergasi Eropah lain namun kami berjiwa besar.

“Pemain saya mempunyai semangat yang kuat untuk berjaya. APOEL adalah pasukan yang mempunyai pemain yang bagus dan mempamerkan aksi terbaik pada setiap perlawanan. Kami semua bekerja keras dan berjaya mengecapi kejayaan yang besar ini.” - AFP

No comments:

Post a Comment