Wednesday 9 November 2011

16 pasukan rebut trofi (10/11/2011)

WALAUPUN dibayangi Sukan Sea ke-26 berlangsung di Jakarta dan Palembang sekarang, Kejohanan Ragbi 10 Sepasukan HSBC-Cobra 2011 di Stadium Majlis Perbandaran Petaling Jaya, bermula Sabtu dan Ahad ini dijangka meriah.
Kejohanan dua hari dianjur Persatuan Ragbi Murid-Murid Tua Bersatu (Cobra) itu akan disertai 16 pasukan tempatan dan luar negara bagi merebut trofi pengasas kelab, Dr Hui Weng Choon dan hadiah wang tunai keseluruhan RM90,000.

Presiden Cobra, Boon Hoon Chee berkata, kehadiran 12 pasukan dari sembilan negara sudah pasti menarik peminat ragbi tempatan.
Pasukan berkenaan ialah tiga dari New Zealand, dua masing-masing dari Australia dan Afrika Selatan, satu pasukan Kenya, Jepun, China, Fiji dan England.

Malaysia diwakili empat pasukan iaitu Cobra selaku tuan rumah, NS Wanderers, Asas RC dan Borneo Eagles RC.

Cobra yang pernah muncul juara pada 2008 menurunkan lima pemain New Zealand, lima pemain Fiji dan empat pemain tempatan dibimbing jurulatih berpengalaman dari New Zealand, Duncan Robertson.

Jurulatih Wanderers, Nor Akmal Mohamad akan menggunakan segala pengalaman untuk memastikan pasukan tidak tercicir di peringkat kumpulan seperti tahun lalu.

“Matlamat pasukan kali ini sekurang-kurangnya ke separuh akhir,” katanya yang menerajui pasukan itu sejak 2005.

Begitu juga pasukan Asas RC yang menampilkan kebanyakan pemain tahun lalu termasuk tiga pemain Fiji, Timoci Nacokula, Timoci Saukuru dan Atunaisa Lacadamu Takubu.

Pengurus pasukan, Zaki Shahran berkata, ini kali ketiga pasukan menyertai kejohanan ini dan mahu membuktikan mereka mampu bersaing di peringkat antarabangsa.

No comments:

Post a Comment