Friday 13 May 2011

Tingkat kualiti stadium (14/05/2011)

Setiap persatuan bola sepak negeri akan miliki padang bernilai RM3 juta 

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) membuka satu lagi episod baru dalam meningkatkan lagi martabat sukan popular ini apabila mengambil inisiatif melantik dua agensi luar negara membantu persatuan negeri memiliki padang rumput tiruan berkualiti.


Prosedur berkenaan mengikut piawaian ditetapkan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).


Langkah ini diambil bagi memastikan kualiti rumput di setiap stadium digunakan pasukan bertanding dalam Liga Malaysia berada dalam keadaan baik walaupun kerap digunakan. 

Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin menegaskan pelantikan agensi dari Jerman dan Belgium itu dibuat bagi membantu setiap persatuan bola sepak negeri memiliki padang bagus yang dianggarkan bernilai RM3 juta. 

“Kita (FAM) hanya mahu membantu persatuan negeri mengurus dan menjaga kualiti padang di gelanggang masing-masing. “Sama ada persatuan negeri berminat atau pun tidak semua bergantung kepada mereka,” katanya ketika ditemui di Wisma FAM, baru-baru ini. 

Hamidin berkata, sebelum ini beberapa padang di negara ini sering dilaporkan rosak dan tidak mencapai piawaian ditetapkan sehingga mengganggu kelancaran perlawanan. Rumput tiruan ini difahamkan dapat bertahan selama lapan tahun. 
“Apa yang diharapkan, persatuan negeri dapat mengambil peluang ini bagi meningkatkan kualiti padang di stadium gelanggang mereka sekali gus mampu mengelakkan daripada masalah padang rosak terus berulang sekiranya kerap digunakan,” katanya. 

No comments:

Post a Comment