Monday 16 May 2011

Tepati ramalan (16/05/2011)

Bakal berentap di final Liga Hoki Remaja Malaysia 2011, Sabtu ini

TEPAT bagai diramal, juara bertahan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) bakal bertemu Sekolah Sukan Bandar Penawar (SSBP) di final Liga Hoki Remaja Malaysia 2011, Sabtu ini, selepas dua skuad pilihan itu menewaskan lawan masing-masing di separuh akhir, semalam. 

Pada aksi di Stadium Hoki Tun Razak di Jalan Duta yang bermula lewat kira-kira dua jam kerana hujan lebat, UniKL menewaskan Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) Junior 3-2 manakala SSBP membelasah skuad `adik’ SSBP Jr 7-0.


Keputusan itu bakal menyaksikan pertembungan antara dua skuad barisan pelapis negara, SSBJ Jr dan SSBP Jr pada penentuan tempat ketiga yang dijadual berlangsung pada jam 4 petang, Sabtu ini.


Terdahulu, UniKL yang juga juara Divisyen Satu hanya mengambil masa tiga minit untuk merobek gawang lawan menerusi pukulan sudut penalti Mohd Zulhairi Hashim, sebelum Mohd Nor Aqmal Abd Gaffer menjadikan kedudukan 2-0 pada minit ke-20. 

Selepas gol ketiga T Ganeisha dua minit berselang, SSBJ Jr bangkit menerusi Rafizul Ezry Mustafa yang menghukum kealpaan pertahanan UniKL untuk meledak gol sulung skuadnya pada minit ke-29. 

Junaide Rosle yang menyempurnakan kemas pukulan penalti pada minit ke-63 bagaimanapun gagal menyekat kemaraan UniKL ke final yang dijadual bermula pada jam 6 petang, di Stadium Tun Razak, Sabtu ini. 

Sementara itu, SSBP tidak bermasalah berpesta gol menewaskan SSBP Jr menerusi jaringan Mohd Fitri Saari (m3), Muhammad Shahril Saabah (m4, m24, m45), Muhammad Hafiz Seleman (m27), Faiz Helmi Jali (m49) dan Mohammad Nazrin Yahya (m55). 

No comments:

Post a Comment