Monday 16 May 2011

Tebus maruah (16/05/2011)

MISI menundukkan Kelantan dan mengatasi jurang defisit lima gol di laman lawan mungkin dianggap mustahil namun bagi pemain tengah berpengalaman Selangor, Hardi Jaafar, masih ada maruah yang perlu ditebus dalam perlawanan timbal balik kedua Piala FA di Kota Bharu, malam ini. 

Pada perlawanan separuh akhir pertama di Stadium Shah Alam, Jumaat lalu, Selangor dipalit kehampaan selepas ditundukkan 5-1 oleh jagoan Pantai Timur itu yang menambah rekod tiga kekalahan dalam kesemua tiga pertemuan, musim ini.


Dan pertemuan keempat musim ini, yang berlangsung di laman keramat lawan Stadium Sultan Mohamad IV perlu digunakan sebaik mungkin Gergasi Merah Kuning yang dibimbing jurulatih K Devan sebagai medan menebus maruah yang tercalar.


“Memang kecewa kerana kami tidak bermain seperti biasa apabila bertemu Kelantan tempoh hari,” kata Hardi. “Saya juga tidak faham mengapa ada pemain gugup setiap kali bertemu Kelantan kerana kami bukanlah pasukan yang lemah, sebaliknya menghuni tangga teratas Liga Super ketika ini. 

“Apa yang penting di Kelantan nanti, kami perlu bangkit untuk sekurang-kurangnya menebus maruah yang dicalar di Shah Alam. Siapa pun yang akan diturunkan esok (hari ini), saya harap akan memberi aksi yang terbaik kerana permainan masih ada 90 minit lagi.” 

Di Shah Alam, gawang Selangor dibolosi tiga gol pada separuh masa pertama dan tambah derita dengan dua gol pada separuh masa kedua sebelum kapten Amri Yahyah menjaringkan gol sagu hati pada minit-minit terakhir permainan. 

No comments:

Post a Comment