Monday 16 May 2011

Tak pandang mudah separuh akhir kedua (16/05/2011)

WALAUPUN mendahului dari segi agregat, Terengganu tidak memandang mudah pertemuan kedua separuh akhir Piala FA dengan Pahang malam ini dan tetap membuat persediaan rapi untuk memastikan kesebelasan utama mampu mengalas tugas dengan baik. 

Bagi jurulatihnya, Irfan Bakti Abu Salim mahu anak buahnya lebih bersemangat bermain di depan penyokong setia supaya matlamat mencari kemenangan tercapai dan tiket ke final di dalam genggaman.


Kali terakhir Terengganu mara ke perlawanan akhir adalah pada 2004 dan peluang untuk berbuat demikian tahun ini lebih cerah andai pemain mengekalkan persembahan bermutu dan menyekat Pahang daripada membolosi gawangnya.


Berbekalkan kemenangan 3-2 di Stadium Darulmakmur Jumaat lalu, moral barisan Irfan Bakti lebih tinggi untuk mengulangi kemenangan ke atas anak buah Dollah Salleh tetapi jurulatih Terengganu itu tetap merendah diri kerana sedar tempoh 90 minit malam ini perlu dihadapi dengan berhati-hati. 

“Terengganu tidak akan bertahan. Saya tidak mahu pemain berasa selesa dengan kemenangan di Kuantan dan mereka hendaklah bersungguh-sungguh serta menggunakan setiap peluang untuk menghasilkan gol,” katanya yang tetap menurunkan barisan terbaik untuk mencari gol awal untuk membuatkan pelawat lebih terdesak. 

No comments:

Post a Comment