Thursday, 12 May 2011

Semua kerana servis (12/05/2011)

Pemain nombor dua dunia menang 32 perlawanan sejak awal tahun 

ROME: Pemain tenis nombor dua dunia, Novak Djokovic berkata, sebahagian peningkatan mendadak dalam permainannya musim ini ada kaitan dengan corak servis yang semakin meningkat.


Djokovic tidak tewas dalam 32 perlawanan sejak awal tahun dan sudah menjulang lima kejuaraan termasuk Terbuka Australia dan tiga mahkota siri Masters.


Dia juga menewaskan pemain nombor satu Rafael Nadal dalam semua tiga final Masters termasuk di gelanggang tanah liat di Madrid, minggu lalu. 

“Servis saya mula menjadi, itu penting bagi saya,” katanya. 

“Saya berhempas pulas dengan hampir separuh daripada elemen permainan saya tahun lalu dan saya berusaha keras, jadi segala usaha itu kini berbaloi. 

“Dengan servis yang bagus, anda boleh mendapat mata mudah yang cukup penting dalam permainan di peringkat seperti ini.” 
Namun dia berkata, dia juga dibuai rasa keyakinan tinggi selepas membantu Serbia memenangi Piala Davis tahun lalu. 

“Saya tahu saat yakin itu juga membantu memainkan peranan penting dalam kejayaan yang saya kecapi dan rasa yakin saya ketika ini. 

“Saya tidak pernah memikirkan kekalahan, tetapi cuba berfikir mengenai kemenangan dalam setiap perlawanan dan fokus menjadi pemain profesional. 

“Saya juga mempunyai sekumpulan individu di sekeliling yang memikul tanggungjawab mereka dengan baik dan ini membuatkan saya rasa lebih mudah di dalam gelanggang,” kata Djokovic yang kini semakin yakin untuk berdepan Nadal di gelanggang tanah liat dan Roger Federer di gelanggang rumput. – AFP 

No comments:

Post a Comment