Monday 16 May 2011

Perak perlu bangkit untuk hindari zon bahaya (16/05/2011)

SAYA terkejut terkena tempias bahang kemarahan peminat akibat kemerosotan prestasi pasukan Perak dalam Liga Super sedangkan saya sudah lama tidak terbabit dalam pengurusan pasukan negeri itu. 

Ternyata masih ramai peminat Perak menganggap saya masih bersama pasukan negeri sedangkan saya sudah lama melepaskan jawatan pengurus dan semua jawatan dalam Persatuan Bola Sepak Perak sejurus menjuarai Piala Malaysia kali kedua pada 2000.


Saya juga terkejut apabila ramai perwakilan sebuah bahagian Umno yang bermesyuarat dan kebetulan saya hadiri sebagai pemerhati, menyoal saya kenapa prestasi Perak begitu mengecewakan sejak kebelakangan ini.


Tidak sangka, masih ramai peminat mengingati dan menghargai khidmat saya selama ini tetapi saya juga tertanya-tanya mengapa persembahan Perak di pusingan kedua liga ketika ini agak mengecewakan kerana daripada enam perlawanan, mereka hanya mengutip lima mata iaitu sekali menang dan seri dua kali tetapi tewas tiga kali. 

Berbaki tujuh lagi perlawanan, empat perlawanan di gelanggang sendiri iaitu menentang Sabah, Selangor, T-Team dan FELDA United manakala Perak akan berkunjung ke gelanggang Johor FC, Kelantan dan Perlis untuk melengkapkan jadual perlawanan. 

Apakah punca hinggakan persembahan Perak tidak konsisten sejak kebelakangan ini, adakah disebabkan kecergasan pemain hinggakan lesu di pusingan kedua ini. 

Perak bukan saja akan kehilangan tempat untuk menduduki sekurang-kurangnya lima pasukan teratas tetapi mungkin terperosok ke zon bahaya jika gagal memenangi semua baki perlawanan kerana Kedah juga mengutip mata sama iaitu 28, cuma dipisahkan dengan perbezaan gol. 
FELDA United dengan 25 mata, Harimau Muda A dan Johor FC juga berada tidak jauh di belakang. Malah jika Perlis, Kuala Lumpur dan Sabah mencatat kemenangan dalam semua perlawanan selepas ini, mereka juga mampu memintas pasukan tangga pertengahan termasuk Perak. 

Justeru, saingan Liga Super musim ini tetap menarik kerana penentuan pasukan yang bakal merangkul kejuaraan dan pasukan yang tersingkir daripada kelompok elit Liga Super, mungkin ditentukan hingga ke perlawanan terakhir. 

No comments:

Post a Comment