Thursday 12 May 2011

Mahu tebus kesilapan (12/05/2011)

WALAUPUN dibelenggu rasa kecewa dengan insiden 'jumpstart' di Pusingan 2 di Batu Kawan, Mohd Affendi Rosli berharap dapat beraksi lebih baik pada Pusingan 3 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di Litar Stadium Sultan Mizan Gong Badak, Terengganu, Jumaat dan Sabtu ini. 

Affendi dikenakan penalti 30 saat selepas didapati melakukan kesalahan itu pada perlumbaan akhir CP130 bulan lalu, sekali gus meletakkannya di kedudukan kelapan walaupun melintasi garisan penamat di tempat kedua.


Jika bukan kerana denda itu, Affendi yang kini berada di tangga keenam keseluruhan dengan 21 mata, mampu berada di kedudukan teratas keseluruhan CP130 bersama-sama pendahulu ketika ini, Ahmad Fazli Sham (Pennzoil Fastrac Racing) dengan 33 mata.


Nasib malang turut menimpa rakan sepasukan Harian Metro TEQ SCK Honda Racing, Azlan Shah Kamaruzaman kerana kesalahan sama tetapi penunggang 27 tahun itu lebih malang apabila gagal menamatkan perlumbaan kerana masalah mekanikal pada pusingan ke-13 daripada 15 pusingan perlumbaan. 

“Keputusan di Pusingan 2 pasti lebih baik jika bukan kerana kesilapan teknikal kami. Kami tidak sangka klac baru yang digunakan amat sensitif dan ketika kami menukar ke gear satu, ia menendang dengan kuat,” katanya. 

“Saya hampir berputus asa selepas marsyal menunjukkan isyarat kesalahan ‘jumpstart’ pada pusingan 5. Saya tetap meneruskan perlumbaan kerana lebih baik mengutip mata daripada tangan kosong,” kata Affendi yang kesal kesilapan itu meragut peluangnya ke podium di Batu Kawan. 

Begitupun, penunggang 26 tahun yang muncul juara Novis 2007 itu tekad melupakan insiden itu dan kini bersedia memberi aksi lebih baik di Terengganu perkara yang telah berlalu dan kini bersedia untuk memberikan aksi terbaik di Terengganu yang menjadi litar kegemarannya. 
Ketika Fazli mendahului kedudukan keseluruhan CP130, Abdul Muhaimin Roslan (Yamaha Maju Motor Racing) mengekori dengan 31 mata, diikuti Mohd Zaqhwan Zaidi (Pachie Yuzy Honda Racing) dengan 26 mata. 

No comments:

Post a Comment