Friday 13 May 2011

Mahu menang lagi (14/05/2011)

Gesa anak didik terus aksi mantap jinak Pakistan di Ipoh, petang ini 

SEGALA-galanya sudah terlewat tetapi Tai Beng Hai tetap percaya skuad hoki Malaysia sudah menemui semula keyakinan sama seperti meraih pingat perak Sukan Asia 2010.


Lantas, ketua jurulatih itu berharap anak didiknya mampu mencipta satu lagi kemenangan apabila turun ke gelanggang menentang Pakistan di Ipoh, petang ini buat melengkapkan jadual perlawanan Kejohanan Piala Sultan Azlan Shah.


“Sudah pasti kami mahu menang ke atas Pakistan. Kejayaan ke atas Korea malam kelmarin sudah meniup semangat baru dalam pasukan. Lebih penting pada perlawanan itu saya lihat pemain beraksi dengan keyakinan dan semangat sama seperti di Guangzhou. 

“Walaupun sudah agak terlambat tetapi pemain membuktikan mereka mampu bermain dengan baik dan saya berharap ia berkekalan,” katanya mengulas kejayaan 3-1 ke atas Korea Selatan. 

Andai Malaysia menang dan Korea Selatan kalah kepada Britain, barisan didik Beng Hai akan mengelak tangga tercorot di kejohanan tujuh negara ini dan menentang India bagi penentuan tempat kelima, Ahad ini. 

Bagaimanapun jurulatih itu sedar tugas berat menanti pasukan kerana Pakistan yang masih memburu peluang ke final pasti tidak akan membiarkan Malaysia menjadi penghalang cita-cita mereka itu dan membuktikan kenapa mereka bergelar juara Sukan Asia. 
Selepas menjinakkan dua wakil Asia - India dan Korea Selatan, bekas juara dunia itu pasti tidak rela maruah mereka dicalar anak buah Beng Hai. Apapun kelebihan psikologi bagi mereka adalah berjaya mengatasi tuan rumah, 4-2 dalam perlawanan pemanas badan sebelum kejohanan ini bermula. 

Jadual hari ini 
Britain mln Korea (4.05 ptg) 
Pakistan mln Malaysia (6.05 ptg) 
Australia mln New Zealand (8.05 mlm) 
(Std Hoki Sultan Azlan Shah, Ipoh) 

No comments:

Post a Comment