Thursday 12 May 2011

Kritik tahap keselamatan GP Monaco (12/05/2011)

LONDON: Pemandu Williams dari Brazil, Rubens Barrichello meluahkan rasa bimbang terhadap aspek keselamatan menjelang perlumbaan Grand Prix Monaco bulan ini selepas pemandu boleh menggunakan sayap belakang yang boleh dikawal untuk membantu ketika memotong pemandu lain. 

“Saya rasa ia tidak sepatutnya,” kata pemandu paling berpengalaman dalam sejarah Formula Satu (F1) itu yang juga pengerusi kepada persatuan pemandu Grand Prix (GPDA) dalam satu laman web.


“Saya harap mereka yang menjadi pemimpin di atas sana duduk di dalam jentera dan cuba menguji di dalam terowong angin dengan DRS (sayap belakang boleh ubah),” kata pemandu berusia 39 tahun itu kelmarin.


“Pada pendapat saya, mereka sedang menanti sesuatu yang buruk untuk berlaku. Dan apabila ia berlaku, mereka akan berkata: “Oh, tahun depan kita tidak akan menggunakannya di Monaco.’ 

“Pendapat pemandu tidak pernah cuba didengar ketika ini dan saya rasa ia adalah satu keputusan yang salah.” 

Litar Monaco, dengan reka bentuk yang sempit dan berselekoh tajam di pinggir wilayah Mediterranean cukup terkenal tetapi menjadi perlumbaan yang mencabar kerana pemandu sukar memotong dan jentera sering kali bergesel dengan penghadang besi. 

Bahagian terowong dengan pemanduan memasuki kawasan gelap dan keluar ke kawasan terang, adalah bahagian paling laju di litar jalanan itu yang mengundang bahaya kerana serpihan tayar dan ‘marmar’ menjadikannya sukar untuk kekal di garisan perlumbaan pada kelajuan tinggi. 
Ada sesetengah pasukan mahukan supaya sistem DRS diharamkan di Monaco tetapi ada pasukan lain menentangnya selepas berbelanja besar untuk mencipta sayap belakang yang sesuai bagi perlumbaan di Monaco itu.

“Saya boleh gambarkan sekarang perlumbaan akan berjalan di belakang kereta keselamatan untuk tempoh yang lama,” kata Barrichello. “Alangkah bagusnya jika mereka mahu mendengar pendapat bahawa Monaco masih seperti itu, ia bukan litar untuk memotong.” 

Barrichello adalah satu-satunya pemandu yang sudah berlumba lebih 300 kali dalam perlumbaan F1 dan beraksi 18 kali di GP Monaco sejak memulakan kariernya bersama pasukan Jordan pada 1993. – Reuters 

No comments:

Post a Comment