Monday 16 May 2011

ke-4 di Queensland (16/05/2011)

BIARPUN dilanda pelbagai kesukaran, pasukan rali PROTON yang dipacu pemandu Alister McRae dan juru arah, Bill Hayes menamatkan perlumbaan Rali Antarabangsa Queensland - laluan dianggap paling sukar dalam siri Kejuaraan Rali Asia Pasifik (APRC) - di kedudukan keempat, semalam. 

Memulakan hari terakhir perlumbaan lapan saat di depan pemandu Mitsubishi, Gaurav Gill, pasangan itu mula ditimpa malang apabila enjin Proton Satria Neo S2000 mengalami masalah selepas menempuh laluan berlopak yang memaksa mereka mengurangkan kelajuan sebelum dilanda masalah drive shaft pula pada jarak 50 kilometer terakhir.


“Tanpa bantuan teknikal daripada pasukan, kami terpaksa memperlahankan kelajuan dan memandu dengan cermat untuk memastikan jentera tiba ke garisan penamat,” kata Hayes. “Ini adalah perlumbaan sukar yang memberikan banyak cabaran.


“McRae dan saya memang kecewa kerana gagal menaiki podium, namun jika melihat kepada keadaan kami, menamatkan perlumbaan di kedudukan keempat sekurang-kurangnya memberikan kami mata berharga untuk mengharungi baki saingan APRC selepas ini.” 

Perlumbaan itu dimenangi pemandu Britain, Mark Higgins, yang menamatkan saingan 16 saat di depan Gill manakala pemandu Jepun, Katsuhiko Taguchi, di tempat ketiga. 

Ketua Sukan Permotoran PROTON, Datuk Abdul Razak Dawood berkata, sekalipun mengharapkan keputusan lebih baik, tempat keempat dianggap memadai berdasarkan kepada pelbagai masalah yang dihadapi, selain mengutip mata berharga buat pasukan. 

“Tahniah kepada McRae dan Hayes yang berjaya menggunakan segala pengalaman mereka untuk memacu jentera hingga ke penamat,” katanya . “Ia membuktikan jentera Satria Neo S2000 memiliki prestasi dan kelajuan untuk terus bersaing dalam kejuaraan ini.” 

No comments:

Post a Comment