Saturday 14 May 2011

'Kawan saya bukan setakat pemain bola sepak saja' (15/05/2011)

ALHAMDULILLAH, kita dapat bertemu lagi di ruangan ini. Minggu ini, pasukan Pelita Jaya memulakan kembali latihan selepas seminggu berehat kerana tiada perlawanan sehingga 28 Mei i kembali pada Isnin lalu. 

Peluang ini saya ambil untuk kembali ke Kuala Lumpur dan membawa keluarga bersiar-siar di Johor Bahru dan Singapura sebelum pulang ke kampung bertemu ibu bapa dan adik-beradik di Perak.


Saya dimaklumkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menyenaraikan saya bersama skuad kebangsaan untuk perlawanan persahabatan menentang pasukan kebangsaan Hong Kong pada 3 Jun ini.


Saya terharu kerana pengurusan dan jurulatih pasukan kebangsaan masih mempunyai kepercayaan terhadap saya. Terima kasih saya ucapkan atas kepercayaan mereka. Walaupun saya satu-satunya pemain skuad kebangsaan yang bermain secara profesional di kelab luar negara, tidak pernah sedikit pun terlintas di fikiran saya bahawa saya adalah bintang dan wajib disenaraikan dalam skuad kebangsaan. 

Sebagai pemain profesional, saya harus sentiasa bersedia pada bila-bila masa dari segi mental, fizikal dan kecergasan agar saya dapat dipilih. Bermain untuk negara memang menjadi idaman untuk diri saya sejak kecil lagi dan apabila peluang datang, tidak seharusnya saya sia-siakan dengan bermain sambil lewa. 

Kekecewaan apabila diketepikan selama dua tahun cukup memedihkan hati ini dan kali ini, saya akan pastikan untuk berusaha bersungguh-sungguh supaya saya akan terus dipilih mewakili negara sehingga ke akhir keringat saya ini. 

Saya percaya soal pelepasan daripada kelab tidak menjadi satu isu walaupun saya simpati kepada majikan di Pelita Jaya kerana ada perlawanan besar dua hari selepas menentang Hong Kong iaitu menentang Persija yang turut membabitkan Bambang Pamungkas atau Bepe. 
Beliau adalah rakan baik saya dan keluarga di sini. Walaupun jarang berjumpa atas kesibukan tugas masing-masing, sesekali kami tetap bertanya khabar dan bertemu sekeluarga untuk makan malam. Tetapi, apabila di padang, beliau tetap musuh baik di peringkat kelab, mahu pun di pentas antarabangsa. 

Selasa lalu, saya dijemput Kelab Malaysia di Indonesia menghadiri satu majlis minum petang di sebuah restoran terkemuka di kota Jakarta. Kelab ini dianggotai rakyat Malaysia yang bekerja dan berniaga di sini. 

Pengurus saya, Zakaria Rahim mengatur kehadiran saya ke majlis ini, dan sekarang, kawan-kawan saya tidak terhad kepada pemain bola saja, malah saya ada ahli perniagaan, jurutera, akauntan, doktor, pensyarah dan dari pelbagai bidang lagi. 

Saya rasa cukup setakat ini, semoga berjumpa lagi di minggu depan. 

Salam sejahtera kepada semua. 

No comments:

Post a Comment