Thursday 12 May 2011

Giat pemantauan bayaran caruman KWSP pemain (12/05/2011)

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) akan membuat pemantauan secara kerap ke atas semua pasukan bertanding dalam Liga Malaysia bagi memastikan segala urusan pembayaran caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pemain berjalan lancar. 

Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin, menjelaskan langkah itu bagi memastikan tidak ada sebarang tunggakan caruman KWSP pemain seperti yang pernah berlaku sebelum ini.


“Kita mahu pasukan bertanding dalam liga tempatan mematuhi semua perkara berkaitan KWSP, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan cukai,” katanya kepada media selepas Sesi Penerangan Kedua oleh KWSP, Perkeso, LHDN dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), di Wisma FAM semalam.


“Pihak kami ingin memantau semua pasukan berkaitan perkara ini kerana jika kita tidak pantau ia akan kembali semula seperti dulu.” Pada pertemuan itu, semua wakil daripada setiap pasukan bertanding hadir mendengar taklimat dan sesi soal jawab bersama pihak KWSP, Perkeso, LHDN dan (SPRM). 

Hamidin berkata pihak KWSP turut merakamkan ucapan terima kasih kepada FAM kerana menganjurkan sesi penerangan seperti ini. “Pada sesi perjumpaan pertama November tahun lalu, jumlah tunggakan mencecah RM7 juta,” katanya. 

“Setakat hari ini, jumlah itu menurun kepada RM1 juta selepas setiap pasukan Liga-M mula membuat caruman lebih teratur berbanding tahun sebelumnya.” 

No comments:

Post a Comment