Thursday 12 May 2011

Garang ledak hatrik (12/05/2011)

Bantu Real Madrid belasah Getafe 4-0 

MADRID: Cristiano Ronaldo menjaringkan hatrik untuk mengetuai Real Madrid menang 4-0 ke atas Getafe di tempat sendiri kelmarin, menafikan pendahulu, Barcelona peluang untuk memenangi gelaran La Liga tanpa turun beraksi.


Real merapatkan jurang dengan musuh tradisi mereka kepada lima mata dengan baki dua perlawanan, bermakna barisan Barca bimbingan Pep Guardiola boleh mengesahkan gelaran ketiga liga berturut-turut andai seri dengan di Levante, awal pagi tadi.


Finalis Liga Juara-juara, Barca mengumpulkan 91 mata berbanding 86 buat Real dan memiliki kelebihan pertemuan sesama sendiri dengan pasukan bimbingan Jose Mourinho sekiranya menamatkan saingan dengan jumlah mata sama minggu depan. 

Ronaldo menghampiri rekod kelab Real Madrid dengan dua jaringan memisahkannya dengan rekod 38 gol semusim oleh Hugo Sanchez, termasuk gol ketujuh dalam tempoh empat hari selepas membelasah Sevilla 6-2, Sabtu lalu. 

Penyerang Portugal itu melonjak mengatasi dua pertahanan untuk menanduk masuk gol pembukaan pada minit ke-24 hasil hantaran lintang Mesut Ozil. 

Perancang tengah Jerman itu juga mencipta gol kedua Ronaldo selepas serangan balas pada minit ke-57. 
Pemain gantian, Karim Benzema kemudian menyudahkan hantaran jauh Xabi Alonso sebelum Ronaldo mengesahkan hatrik dengan penalti pada masa tambahan, membawa jumlah jaringannya musim ini kepada 36 gol, di depan pemain Barcelona, Lionel Messi yang mengumpulkan 31. – Reuters 

No comments:

Post a Comment