Thursday 12 May 2011

Duka hoki terus berulang (12/05/2011)

Penyakit lama anak buah Beng Hai kembali bila dibolosi lawan saat akhir 

EPISOD melepaskan gol pada saat-saat akhir berulang menyebabkan Malaysia terus berputih mata dalam kejohanan hoki edisi ke-30 Piala Sultan Azlan Shah, apabila tumpas 3-2 kepada New Zealand, semalam.


Sama seperti ketika menentang juara dunia, Australia pada perlawanan pembukaan enam hari lalu yang menyaksikan lawan menjaringkan gol 30 saat sebelum siren penamat, New Zealand menghancurkan hati kem negara semalam apabila jaringan Steven Edwards, 17 saat tamat permainan menumpaskan penjaga gol Roslan Jamaluddin.


Gol berpunca daripada pukulan sudut penalti kontroversi yang dihadiahkan pengadil, Stephen Levi dari Australia yang dipertikaikan pemain Malaysia mengakibatkan Mohamad Sukri Abdul Mutalib dilayangkan kad hijau. 

Walaupun keputusan itu meragukan, jurulatih Malaysia, Tai Beng Hai terpaksa akur dalam kekecewaan kerana kelalaian anak buahnya sendiri. 

“Gejala ini sering menghantui hoki negara pada masa lampau dan nampaknya ia kembali. Saya sangkakan ia sudah beralih tetapi malangnya penyakit ini menyebabkan kita tumpas. 

“Seperti ketika pertemuan dengan Australia, saya jangka kita mampu mengutip sekurang-kurangnya satu mata,” kata jurulatih Malaysia, Tai Beng Hai. 
Pada perlawanan semalam, New Zealand yang menduduki ranking kelapan 8 dunia mendahului menerusi pukulan sudut penalti Nicholas Wilson pada minit ke-16 tetapi Malaysia mengikat kedudukan apabila Muhammad Izzat Mohd Rahim merembat kencang melepasi Stephen Graham lima minit sebelum rehat. 

Babak kedua menyaksikan, kedua-dua pasukan berbalas serangan tetapi New Zealand yang mempamer corak pantas dan gerakan kemas kembali di depan menerusi gol padang Stephen Jennes pada minit ke-57 menerusi Faizal Saari menyamakan kedudukan dari pukulan sudut penalti pada minit ke-68, sebelum ‘malapetaka‘ itu berulang. 

No comments:

Post a Comment