Friday 13 May 2011

Dapat tiket ke Kejohanan Dunia (14/05/2011)

BIARPUN sekadar menduduki tempat kedua dalam acara 50 meter kuak lentang wanita, Chan Kah Yan yang memecahkan rekod kebangsaan pada Kejohanan Renang Terbuka Malaysia di Pusat Akuatik Nasional Bukit Jalil, semalam, berjaya mendapatkan tiket ke Kejohanan Dunia pada Julai ini di Shanghai, China. 

Perenang berusia 19 tahun yang mewakili Kuala Lumpur itu mencatat 29.70 saat bagi memperbaiki rekod kebangsaan diciptanya sendiri dalam peringkat saringan di sebelah pagi dengan catatan 29.87s. Tempat pertama dalam acara itu dimenangi perenang Hong Kong, Claudia Lau (29.45s) dan tempat ketiga dimenangi rakan senegaranya, Chung Yan Ting (29.88s).


“Sasaran saya memang ke arah layak ke Kejohanan Dunia buat pertama kali dan tidak menjangka biarpun di tempat kedua, saya dapat melepasi masa kelayakan,” katanya yang melepasi masa kelayakan ke Kejohanan Dunia iaitu 29.80s.


Rakan sepasukannya, Ian James Barr meneruskan kecemerlangan dalam acara 200m rampaian individu apabila memecahkan rekod kejohanan dibuat perenang India, Rehan Poncha pada 2008 dengan catatan 2:08.33s. Ian mencatat 2:07.85s untuk membawa pulang emas manakala perenang Vietnam, Vo Thai Nguyen di tempat kedua (2:10.17s) dan perenang Hong Kong, Kong Chun Yin meraih gangsa (2:10.38s). 

“Masa dicatat tadi (semalam) lebih kurang dengan apa saya selalu buat sebelum ini namun saya gagal memperbaharui rekod kebangsaan iaitu catatan terbaik saya sebelum ini (2:07.22s),” kata perenang berusia 16 tahun yang berketinggian 1.83m itu. 

Akan beraksi di Sukan SEA Indonesia pada November ini dalam acara 50m dan 100m kuak lentang, 200m dan 400m rampaian individu, perenang itu berharap dapat layak ke Kejohanan Dunia menerusi acara 200m kuak lentang, hari ini.

Hari kedua edisi ke-54 Terbuka Malaysia semalam menyaksikan penguasaan Hong Kong apabila menambah lagi tujuh pingat emas selain turut memecah lima rekod baru kejohanan menjadikan setakat ini Hong Kong memungut 11 emas, enam perak dan 10 gangsa. Vietnam pula menduduki tempat kedua (3-3-0) manakala Kuala Lumpur, ketiga, 3-2-1. 

No comments:

Post a Comment