Monday 16 May 2011

Berterusan (16/05/2011)

MILAN: AC Milan tidak mengecewakan penyokong ketika merayakan mahkota kejuaraan liga ke-18 sebelum dan ketika menundukkan Cagliari 4-1, kelmarin. 

Kelab itu merangkul kejuaraan Serie A minggu lalu apabila seri 0-0 menentang Roma di gelanggang lawan, dan sejak itu beraksi di separuh akhir Piala Itali bertemu Palermo di tempat lawan.


Menjelang perlawanan itu, pasukan berarak di atas bas terbuka sepanjang bandar dengan penyokong, sebelum menuju ke San Siro.


Sejurus tiba di stadium, pemain, isteri dan anak masing-masing meraikan kejayaan itu depan penyokong di atas padang dengan memakai baju-t. 

Apabila perlawanan bermula, jaringan Robinho dan Gennaro Gattuso membolehkan Milan mendahului 3-1 pada masa rehat sebelum Clarence Seedorf melengkapkan kemenangan dengan jaringan keempat. 

Sejurus tamat permainan, perayaan bersambung dengan majlis penyerahan trofi kemenangan di atas padang yang dihadiri Perdana Menteri Itali yang juga presiden kelab, Silvio Berlusconi. 

“Kami mahu menamatkan saingan dengan mencatat kemenangan di gelanggang sendiri, di depan penyokong,” kata jurulatih Milan, Massimo Allegri. “Mereka melakukan yang terbaik dan berhak dengan kemenangan ini.” 
Sementara itu, Lazio menjaringkan tiga gol pada separuh masa kedua untuk mengekalkan harapan beraksi dalam saingan Liga Juara-Juara selepas menewaskan Genoa 4-2. – AP 

No comments:

Post a Comment