Saturday 9 April 2011

Wenger menafikan kritikkan hebat dari Supporters Trust


LONDON: Arsene Wenger mempertahankan pencapaian pasukan Arsenal dan polisi pengurusannya menjelang pertembungan Liga Perdana Inggeris menentang Blackpool, malam ini.
Arsenal dikritik hebat minggu ini daripada kumpulan penyokong berpengaruh, Supporters Trust, berikutan keputusan seri 0-0 menentang Blackburn Rovers, yang menyukarkan harapan mereka untuk mengatasi Manchester United di tangga teratas Liga Perdana.

Namun Wenger mendakwa pertentangan pendapat itu tidak tepat kerana mereka masih berpeluang untuk memenangi liga.
Beliau merujuk kepada hakikat walaupun mereka sudah enam musim tanpa sebarang trofi, pemain yang mereka miliki dan kekuatan sumber kewangan sepatutnya diambil kira sebagai satu kejayaan.

“Kami memberikan persembahan maksimum dan anda terpaksa menerima pendapat orang ramai,” kata Wenger.

“Selagi anda berada di tangga kedua liga, saya bersedia untuk mengikat kontrak bagi 20 tahun akan datang.

“Anda hanya dinilai menerusi perlawanan terakhir anda. Kami hidup dalam masyarakat di mana setiap orang ada pendapat masing-masing dan tidak ramai yang melakukan sesuatu.

“Kami perlu bertindak dan kami mahu dinilai menerusi tindakan kami. Masyarakat hidup ketika ini hanya dengan pendapat masing-masing.

“Saya membesar dengan menilai apa yang orang lakukan, bukannya apa yang mereka kata. Kami mahu dinilai Ahad ini terhadap apa yang kami lakukan, bermain satu persembahan yang bagus.” Dua bulan lalu Arsenal memburu empat trofi, namun tumpas pada perlawanan akhir Piala Liga di tangan Birmingham City, suku akhir Piala FA di tangan Manchester United dan pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara Eropah kepada Barcelona.

Namun Wenger menegaskan beliau masih menganggap musim ini sebagai satu kejayaan, sekalipun jika mereka tidak menjuarai Liga Perdana.

“Kami mahu bertarung hingga perlawanan terakhir musim,” kata Wenger.

“Jika ada pasukan yang lebih baik daripada kami, kami terpaksa menerimanya. Saya percaya kami tidak perlu malu dengan apa yang kami lakukan ketika ini.

“Sebaliknya, saya berbangga kerana jika saya ambil kenyataan setiap orang di sini pada permulaan musim, kami langsung tidak diletakkan dalam kelompok lima teratas. Kini kami di tangga kedua.

“Sudah tiba masanya orang faham mengenai tugas yang kami lakukan. Adalah penting kami menyedari pasukan ini benar-benar menakjubkan terhadap apa yang mereka lakukan pada usia mereka. Satu hari orang akan memahaminya, tapi ketika ini, saya tidak yakin mereka faham.” Kapten Arsenal, Cesc Fabregas (gambar) kembali cergas, tetapi Wenger tidak boleh menurunkan Alex Song yang mengalami kecederaan lutut. Theo Walcott dan Bacary Sagna pula berdepan ujian kecergasan. - AFP

No comments:

Post a Comment