Saturday 9 April 2011

Siti Shahkirah hebat di Sepang


BERUSIA 17 tahun dan masih belum mempunyai lesen memandu, namun Siti Shahkirah Shaharul akan merealisasikan impiannya beraksi dalam perlumbaan sokongan Grand Prix Formula Satu (F1) di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) bulan depan.
Siti merupakan lulusan akademi perlumbaan Formula Xperience Petronas (PFX). Dia bersama seorang lagi bekas penuntut akademi tersebut, Mark Darwin akan beraksi dalam perlumbaan Siri Super Malaysia (MSS) yang merupakan perlumbaan sokongan GP Malaysia.
Kedua-dua pelumba ini akan bekerjasama dengan seorang pelumba dari Singapura dan Brunei yang akan diputuskan oleh pasukan mereka, Red Bull Racing Satria Neo.

“Saya akui, ia memang berbeza dengan perlumbaan go-kart yang saya sertai sebelum ini. Ini adalah perlumbaan kereta sebenar, termasuk kehadiran pelumba terbaik seluruh Malaysia, namun ia bagaikan impian menjadi kenyataan buat saya.
“Saya menganggap ini satu cabaran yang perlu saya tempuhi. Saya juga sentiasa mengimpikan untuk menjadi seorang pelumba F1, itulah sebabnya mengapa saya menyertai PFX tahun lepas,” kata Siti yang dinamakan sebagai pelumba baru Red Bull Rookie Racing untuk Malaysia bersama Darwin.
Semangat Siti Shahkirah begitu menyala dengan menyatakan dia memang masih belum memandu jentera F1. Tetapi dia akan berkongsi trek yang sama digunakan oleh pelumba F1 April depan dan ia sesuatu yang mengujakan buat dirinya.
Siti yang menjadikan bekas pelumba F1, David Coulthard sebagai idolanya, akan mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini dan serentak dengan itu ibu bapanya mengurangkan aktiviti perlumbaan.
Bagaimanapun mereka bersetuju untuk membenarkan dia menyertai program Red Bull Rookies yang mencari dua pelumba bawah 21 tahun dari Malaysia dan dua lagi dari Singapura dan Brunei untuk bersaing dalam perlumbaan 1000-Kilometer Sepang (S1K) Disember depan.
“Kami membuat keputusan bahawa dia perlu memberikan tumpuan sepenuhnya dalam bidang pelajaran menjelang peperiksaan SPM yang akan ditempuhinya tahun ini tetapi dia masih lagi mahu berlumba.
“Dia memang mahu terus berlumba, jadi saya dan isteri saya membenarkan dia untuk menyertai program Red Bull Rookie,” kata bapa Siti Shahkirah, Shaharul Mohd. Ali.
Bakal bersaing untuk mengisi dua lagi slot bagi pasukan Red Bull Rookie Racing menjelang S1K adalah Farhana Jaidin dan Norfazilah Abdul Salam dari Brunei. Manakala enam lagi pelumba wanita ialah Kuek Zi Yi, Amanda Chan, Emmiline Ang, Melissa Huang, Suzanne Chu dan Amirah Mokhtar.
Mengimbau kembali permulaan karier Siti Shahkirah, dia mula berjinak dengan sukan ini melalui go-kart pada usia empat tahun dan terlibat perlumbaan ketika berumur sembilan tahun dan dia menyertai kejohanan Terbuka Kejohanan Asia Karting ketika 11 tahun.

No comments:

Post a Comment