Monday 11 April 2011

Sesi pemilihan Tinju ke Olimpik

KUALA LUMPUR - Kejohanan Tinju Piala Datuk Bandar Kuala Lumpur selama lima hari bermula hari ini akan membuka peluang kepada semua peninju berbakat untuk disenaraikan bagi menyertai kelayakan Sukan Olimpik 2012 di Azebaijan, Oktober ini.
Setiausaha Kehormat Persatuan Tinju Amatur Kuala Lumpur, N. Krisnan berkata, kejohanan itu akan diadakan di Stadium Titiwangsa.
"Kejohanan ini penting buat semua peninju negara. Saya harap peninju-peninju dapat memanfaatkan peluang ini untuk mengukur tahap kebolehan mereka sebelum dipilih ke kelayakan Olimpik seterusnya mewakili negara ke temasya 2012 itu nanti," katanya.
Beliau berkata, seramai 64 orang peninju daripada 22 pasukan, termasuk pasukan-pasukan negeri, kelab, Angkatan Tentera Malaysia dan Polis Diraja Malaysia menyertai kejohanan kali kelapan ini.
"Untuk kali ini, kita mempertandingkan lapan kategori berat badan iaitu 46kg, 49kg, 52kg, 56kg, 60kg, 64kg, 69kg dan 75kg," katanya.
Krisnan berkata, beberapa peninju skuad elit negara turut menyertai kejohanan antaranya Eddy Kalai, Paunandes Paulus, Zulkarnain Mustaffa, Zamzai Azizi Mohamad dan Awang Affandey Awang Kati. - Bernama

No comments:

Post a Comment